ARKIB : 30/04/1998
Pulau Pinang terus malang
PULAU Pinang yang kalah tipis
2-3 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Sabtu lalu terus dirundung
malang apabila Moey Kok Hong belum pasti dapat membantu pasukan itu Sabtu ini.
Malah, pasukan itu menghadapi
kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat Ng Kok Heng yang cedera di paha dan
terpaksa direhatkan sementara.
Jurulatih pasukan itu, Moey Yok
Ham yang masih 'pening' memikirkan keputusan pengadil membatalkan gol ketiga
rembatan Fabio Da Silva, kini terpaksa membuat persiapan tergesa-gesa dan
perhitungan bagi mencari pengganti Ng Kok Heng untuk menghadapi Brunei, Sabtu
ini.
Katanya, untuk mengantikan
pemain lain di tempat Ng Kok Heng bukanlah masalah baginya, tetapi takut tidak
menjadi sepertimana yang dirancangkan.
''Walau bagaimanapun, kita
masih mengharap Kok Hong dapat beraksi ketika bertemu dengan Brunei nanti.
''Jika Kok Hong mampu beraksi,
sekali gus Pulau Mutiara berada dalam keadaan seimbang di semua penjuru,''
katanya kepada Sukan Utusan di Stadium Bandaraya, semalam.
Kok Hong yang kadang-kadang
ditugaskan supaya beraksi sebagai defensive midfielder juga diperlukan untuk
mengawasi Mohd. Brian Bothwell Abdullah yang mempunyai kebolehan melakukan
tandukan sepertinya (Kok Hong).
Moey juga berharap persembahan
anak buahnya di tempat sendiri nanti tidak akan menghampakan peminat Pulau
Pinang kerana mereka mampu mempamerkan aksi yang menarik ketika bertemu Brunei
nanti.
''Saya yakin mereka akan
mempamerkan semangat juang seperti mana ketika menentang Pahang,'' katanya.
Sementara itu, dalam
perkembangan lain Moey turut mengakui bekas pemain Perlis, Domi Che Non kini
belum mampu menunjukkan apa yang diharapkan.
Katanya, dari lima perlawanan
hanya ketika bertemu Negeri Sembilan sahaja Domi mampu mempamerkan aksi menarik
apabila membantu menyumbatkan satu gol untuk Pulau Pinang.
Menurut Moey, di samping
dikawal terlalu ketat oleh pemain pertahanan lawan dalam setiap perlawanan, dia
juga belum mampu bertindak pada tahap kecergasan seratus peratus.
Oleh itu, beliau meminta para
penyokong bersabar dan memberi sedikit masa untuk Domi mendapat ketahanan
fizikal yang tinggi bagi beraksi dengan baik.
Jurulatih itu memberitahu,
berbanding dengan pemain lain, Domi masih ketinggalan dari segi latihan fizikal
kerana kecederaan lalu.
''Suatu hari nanti saya percaya
prestasi Domi akan menjadi lebih baik seperti mana yang diharapkan,'' ujarnya.
Oleh: FAIZUL ABD. SHUKOR
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JCoIRes5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan