Khamis, 21 September 2017

Tugas berat Pulau Pinang

ARKIB : 03/03/2007

PULAU PINANG – Harimau Kumbang bakal berdepan tugas getir esok ekoran ketiadaan ramai pemain tonggak menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi dalam aksi Piala Malaysia.

Ketua jurulatih, Josef Herel berkata, dengan ketiadaan pemain utama dalam aksi keempat dalam Piala Malaysia diakui memberi sedikit tekanan kepada skuad bimbingannya untuk mencari kemenangan sulung.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu merupakan perkara biasa dalam bola sepak dan beliau perlu menggunakan segala kekuatan yang ada untuk meneruskan saingan.

“Walaupun terpaksa merehatkan beberapa pemain utama selain ada yang digantung kerana kad kuning namun itu bukan penyebab untuk kami mengaku kalah,” katanya.

Herel memberitahu, percaturan malam ini mungkin sedikit berubah kerana ketiadaan penjaga gol utama, S. Shankar serta beberapa pemain seperti Nordin Khamis, V. Jeganatahan dan Durahim Jamaludin.

“Saya menasihatkan pemain yang bakal diturunkan nanti agar bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan dan berharap dapat mengulangi prestasi mantap ketika menundukkan Perlis di Kangar dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Herel, pertemuan dengan Perlis yang berkesudahan Pulau Pinang menang 1-0 dicapai kerana anak-anak buahnya bermain mengikut percaturan yang telah ditetapkan.

“Mereka bermain dengan baik. Kemenangan itu bukan disebabkan nasib semata-mata dan saya yakin ia boleh diulangi menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan esok (malam ini),” katanya lagi.

Jelasnya, anak didiknya kini berada dalam keadaan baik, ditambah pula kemenangan ke atas Perlis dalam aksi Liga Super Rabu lalu sedikit sebanyak memberi tonik serta menguatkan azam mereka untuk mendapatkan keputusan lebih baik.

Katanya, walaupun mendapat cemuhan penyokong kerana mempamerkan aksi yang dianggap tidak memuaskan, anak didiknya dilihat terus cekal untuk memberikan saingan.

“Saya puji persembahan mereka baru-baru ini namun tetap berharap agar mereka tidak mudah lupa diri kerana setiap lawan adalah berlainan kemampuan dan kekuatannya,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah satu masalah besar kerana beliau tetap yakin barisan pemain simpanan yang ada juga mampu merencanakan sesuatu untuk membantu pasukan mencatat kemenangan seterusnya.

Dalam pada itu, penyerang Pulau Pinang yang menjaringkan gol tunggal dalam pertemuan menentang Singa Utara Rabu lepas, Mohd. Farizal Rozali bersedia menggempur benteng Rusa malam ini.

Beliau yang semakin terdesak mencari lebih banyak gol untuk membantu pasukannya mengukuhkan kedudukan dalam liga berazam memperbaiki mutu persembahannya menjelang perlawanan itu nanti.

“Saya berpuas hati sekiranya dapat menghasilkan gol kerana itu menjadi tugas utama ketika turun beraksi. Saya harap esok (malam ini) tuah berpihak kepada saya untuk membuat lebih jaringan,” katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tMM0iIaN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan