ARKIB : 26/03/1998
TINDAKAN berani jurulatih, Moey
Yoke Ham melakukan perubahan taktikal pada 25 minit terakhir perlawanan separuh
akhir pertama kelayakan Perdana Satu, membolehkan Pulau Pinang menewaskan
Kelantan 4-2 di Stadium Bandaraya, kelmarin, YUSWAN YUNUS melaporkan.
Moey menyedari pasukannya
berada dalam keadaan bahaya apabila ketinggalan 1-2 kepada skuad Kijang apabila
Hashim Mustapha menyumbat gol kedua pasukannya pada minit ke-61.
Dalam suasana yang tertekan
akibat cacian daripada penyokong sendiri, Moey melakukan beberapa perubahan
yang membabitkan beberapa pemain di barisan hadapan skuad Harimau Kumbang.
Beliau memasukkan Domi Che Non
menggantikan bek kiri, Fauzi Soh sebagai usaha memantapkan serangan di samping
mengarahkan pemain import Brazil, Fabio Da Silva meninggalkan posisi tengah
bagi berganding dengan Merzagua Abderrazak.
''Selain itu stopper, Abdul
Rahim Hassan dimasukkan bagi membolehkan pemain serba boleh, Moey Kok Hong
membantu barisan serangan,'' katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Ternyata perubahan itu
mendatangkan hasil apabila Pulau Pinang berjaya menyumbat tiga gol pada 20
minit terakhir melalui, Chee Wan Hoe (70), Da Silva (84) dan Kok Hong (88),
yang juga gol keduanya pada perlawanan itu.
Bagaimanapun Moey mengakui
perlawanan kelmarin sebagai agak kasar dan agresif mengakibatkan pengadil Amir
Sharifuddin Wong dari Perak, mengeluarkan lapan kad kuning, empat kepada setiap
pasukan.
Domi, Kok Hong, Ng Kok Heng dan
Yong Woon Seang bagi pihak Pulau Pinang, manakala Alif Rohaimin Azizhan, Ghapor
Mohamed, Wong Kah Loon dan Luis Pablo Pozzuto bagi pasukan Kelantan.
Ekoran daripada itu, Moey
kehilangan tiga tonggaknya, Kok Hong, Kok Heng dan Woon Seang bagi perlawanan
kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.
''Saya ingatkan mereka,
sekiranya bermain cantik tetapi kalah, tiada faedah. Tetapi sekiranya bermain
buruk dan menang, itu menunjukkan kebijaksanaan pasukan,'' kata Moey selepas
latihan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4FnJ8EOMJ
© Utusan Melayu (M) Bhd