ARKIB : 02/01/1998
KONTROVERSI antara Persatuan
Bola Sepak Sabah (Sabah FA) dengan Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) kembali
mencerahkan peluang beberapa buah pasukan termasuk Pulau Pinang yang ghairah
memancing pemain skuad Negeri Di Bawah Bayu untuk membawa cabaran musim ini,
lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Antara pemain Sabah yang
menjadi idaman Pulau Pinang ialah Mohd. Jaya Kassim yang begitu diperlukan
untuk memantapkan barisan serangan skuad Harimau Kumbang.
Kemelut terkini yang melanda
Sabah itu mendorong keinginan beberapa pemain skuad bola sepak negeri tersebut
untuk mula mencari pasukan lain.
Sabah FA kini menghadapi
tindakan drastik apabila MSNS menggugurkan keahliannya sehingga membawa kepada
penarikan beberapa kemudahan tertentu termasuk penggunaan Stadium Likas yang
menjadi milik majlis berkenaan.
Apatah lagi selepas MSNS
melarang Sabah FA menggunakan status wakil rasmi negeri tersebut dalam Liga
Malaysia, sudah cukup menggerunkan pemain.
Dalam kedudukan Sabah FA yang
terumbang-ambing, pemain yang tidak mahu menanggung risiko sudah mula beralih
minat untuk menyarung jersi pasukan lain.
Pastinya, tumpuan mereka ke
Pulau Mutiara yang menyatakan keinginan untuk mendapatkan khidmat pemain Negeri
Di Bawah Bayu.
Selain Mohd. Jaya, skuad
Harimau Kumbang berminat dengan beberapa lagi pemain Sabah tetapi terpaksa
menghadkan pengambilan dari Negeri Di Bawah Bayu berikutan krisis ekonomi yang
melanda negara ini.
Persatuan Bola Sepak Pulau
Pinang (FAP) mula memancing Mohd. Jaya sejak skuad Harimau Kumbang tersingkir
daripada saingan Piala Malaysia lagi.
Kehadiran Mohd. Jaya dijangka
memenuhi kehendak FAP bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu, apatah
lagi setelah penyerang Merzagua Abderrazak sudah menyatakan keinginannya untuk
kembali.
Sementara, dua pemain yang
digugurkan oleh Selangor, Abdul Talib Sulaiman dan Shahrin Majid turut menarik
minat Pulau Pinang untuk disenaraikan dalam skuad Harimau Kumbang musim depan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FD3n18fH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan