Isnin, 25 Julai 2016

P. Pinang lebih mantap - Moey

ARKIB : 01/02/1998
P. Pinang lebih mantap - Moey
KEHADIRAN enam pemain luar meyakinkan naib juara Piala FA musim lalu, Pulau Pinang untuk mengharungi perlawanan play-off untuk mengisi salah satu dari dua tempat ke Premier Satu.

Menurut jurulatihnya, Moey Yoke Ham kemantapan Pulau Pinang nampak meyakinkan tidak lagi seperti mengharungi kemalapan musim lalu.

''Saya begitu optimis peluang Pulau Pinang untuk layak ke Premier Satu cerah jika berdasarkan barisan pemain yang dimiliki kali ini,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Moey nyata lega dengan kehadiran bekas penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri Ismail memperkukuhkan benteng terakhir malah kelibat dua bekas pemain pertahanan Kelantan, Fauzi Soh dan Zaidi Mat Ail melengkapkan lagi kekuatan di benteng.

Selain itu katanya, kehadiran bekas pemain Perak dan skuad Olimpik Barcelona, Chee Wan Hoe memberi kekuatan di benteng pertahanan.

Katanya, jentera serangan juga tampak mantap dengan adanya bekas penyerang Perlis, Domi Che Non yang akan berpasangan dengan pemain import yang dipanggil semula, Merzagua Abderrazzak.

Selain mengekalkan Balla Modou Conde dan kehadiran ayam tambatan baru dari Brazil, Fadio Fanticelle Da Silva akan memperkukuhkan bahagian tengah.

Seorang lagi pemain yang ditambat oleh Pulau Pinang ialah bekas pemain skuad Liga Simpanan Kuala Lumpur, Sharul Hamid.

''Biarpun saya masih belum melihat aksi sebenar Fanticelle tetap saya yakin dia adalah seorang pemain yang boleh menjanjikan sesuatu kepada Pulau Pinang.

''Jika dinilai satu demi satu barisan musim ini boleh saya sifatkan pasukan kali ini jauh lebih mantap berbanding ketika muncul naib juara Piala FA,'' katanya lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FR4ITCGO © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan