ARKIB : 19/03/1998
PULAU Pinang yang sudah layak
ke separuh akhir pusingan kelayakan Perdana Satu kini menanam semangat dan
tekad baru untuk merampas salah satu tempat Perdana Satu musim ini, lapor
FAIZUL ABD. SHUKOR.
Kemenangan 1-0 ke atas Melaka
di Stadium Kubu, malam kelmarin merupakan amaran awal kebangkitan skuad Harimau
Kumbang yang sebelum ini mempamerkan permainan yang tidak konsisten sehingga
meresahkan para peminat bola sepak di negeri ini.
Pulau Pinang sebelum ini
menewaskan skuad Olimpik 2000 0-1 dan Melaka juga dengan jaringan 0-1 sebelum
tewas mengejut kepada pasukan Olimpik 1-0 Sabtu lalu.
Siapa bakal menjadi lawan Pulau
Pinang pada peringkat separuh akhir nanti bukan soal pokok tetapi apa yang
lebih penting skuad itu seolah-olah sudah disuntik dengan satu semangat baru.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, skuad Harimau
Kumbang kini lebih bersemangat malah sudah bersedia untuk menghadapi mana-mana
pasukan yang bakal ditemui nanti.
Katanya, dengan semangat
'separuh akhir' Pulau Pinang ternyata lebih yakin untuk bermain dan memastikan
pasukan itu berada di Perdana Satu.
Dr. Ibrahim memberitahu,
pasukan mana akan menjadi lawan Pulau Pinang nanti sudah menjadi soal kedua
kerana kejayaan ke separuh akhir lebih penting.
''Kini kita sudah layak, oleh
itu dengan mana-mana pasukan kita berhadapan pada separuh akhir nanti bukan
menjadi persoalan.
''Jika terlalu mengharap untuk
bertemu pasukan lemah pada separuh akhir, bagaimana pula untuk menghadapi
pasukan lain yang lebih mantap di Perdana Satu,'' katanya kepada Sukan Utusan
sebaik saja mengetahui pasukan Pulau Mutiara telah layak ke separuh akhir.
Bagimanapun dalam perkembangan
lain, Dr. Ibrahim tetap berharap penyerang Pulau Pinang, Domi Che Non, mampu
beraksi pada perlawanan separuh akhir nanti.
Beliau juga berkata, kehadiran
Domi sudah tentu akan menambah sengat Pulau Pinang dalam mengatur strategi baru
di barisan serangan.
Jelasnya, Pulau Pinang mampu
bertindak lebih garang pada pertemuan Selasa ini jika semua pemain seperti G.
Shanmugam, Mohd. Fuad Mohd. Noor dan Yong Woon Seang dapat beraksi.
Untuk memastikan tahap
kecergasan kesemua pemain Skuad Harimau Kumbang berada di tahap terbaik, Dr.
Ibrahim berkata, FAP akan memastikan kesemua pemain diberi latihan mencukupi.
''Saya berharap strategi dan
latihan di bawah jurulatih Moey Yok Ham akan berhasil,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FiB2JD22
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan