ARKIB : 28/02/1998
PULAU Pinang tidak mahu
'berputih mata' malah akan terus menyenaraikan bekas penjaga gol Kedah, Ahmad
Sobri untuk menyarung jersi Harimau Kumbang pada musim ini biarpun Persatuan
Bola Sepak Kedah mahukan bayaran RM80,000 sebagai yuran perpindahan, lapor
ZULKIFLI ABDULLAH.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, apa yang diminta
oleh Kedah itu menimbulkan kemusykilan kerana Ahmad Sobri tidak terikat lagi
dengan pasukan Hijau Kuning.
Malah katanya, FAP ada menerima
dua surat daripada Persatuan Bola Sepak Kedah yang memaklumkan bekas penjaga
kebangsaan itu sudah habis kontraknya dengan pasukan asalnya pada 31 Disember
lalu.
''Surat itu sudah menjelaskan
kepada kami bahawa Ahmad Sobri boleh bermain dengan mana-mana pasukan dengan
sebab itu, Pulau Pinang mengambilnya bermain,'' katanya di Pulau Pinang
semalam.
Beliau berkata demikian sebagai
mengulas laporan akhbar kelamrin yang menyebut Kedah hanya membenarkan Ahmad
Sobri mewakili Pulau Pinang sekiranya dibayar yuran perpindahan sebanyak
RM80,000.
FAP sebelum ini dikatakan sudah
meminta sijil perpindahan daripada Kedah bagi melepaskan Ahmad Sobri tetapi
tidak diperolehi walaupun sudah dimaklumkan sebanyak dua kali.
Dr. Ibrahim menegaskan, perkara
ini tidak sepatutnya berlaku dalam usaha persiapan pasukan Harimau Kumbang
untuk memulakan cabaran dengan menentang Skuad Olimpik 2000 Selasa ini.
''FAP akan membawa perkara ini
kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana ternyata Ahmad Sobri tidak
ada lagi kontrak dengan mana-mana pasukan dan wajar pemain itu mewakili Pulau
Pinang tanpa ada sebarang masalah,'' ujarnya.
Dalam menyelesaikan kekusutan
itu, katanya, FAM harus campur tangan untuk menyelesaikan masalah yang
berbangkit ini.
Sebagai langkah menghadapi
sebarang kemungkinan, Dr. Ibrahim memberitahu, FAP akan turut menyenaraikan
seorang lagi penjaga gol iaitu bekas penjaga gol Olimpik, Megat Amir Faisal
yang digugurkan kerana kecederaan.
Pulau Pinang kini ada dua lagi
penjaga gol selain Ahmad Sobri iaitu Shahul Hamid dan Roslan Rahim.
Dalam perkembangan lain, Domi
Che Non mungkin tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Olimpik 2000 di
Stadium Merdeka, Selasa ini kerana mengalami kecederaan di lutut.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fbvbqjsd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan