ARKIB :
09/01/1998
SEWAKTU Perlis
kembali menabur janji manis untuk membendung penghijrahan pemainnya, penyerang
berbisa Singa Utara, Domi Che Non pula ingin beralih angin dan menyarung jersi
skuad Pulau Pinang musim ini.
Walaupun belum
lagi menandatangani kontrak secara rasmi, Domi sudah menyatakan persetujuan
mewakili skuad Harimau Kumbang kepada pengurusan Pulau Pinang.
Kelmarin, di
hadapan pengurus pasukan, Datuk Mohd. Zain Omar dan jurulatih Moey Yok Ham,
Domi menandatangani surat tawaran untuk mewakili Pulau Pinang dalam kontrak
setahun yang akan ditandatangani pada 1 Februari ini.
Penghijrahan
Domi memberi tamparan hebat kepada Perlis selepas kehilangan khidmat jurulatih
Abdul Rahman Ibrahim serta pemain Badrulhisham Abdullah dan Anuar Jusoh yang
berhijrah ke Terengganu.
Pulau Pinang
juga turut memancing ketua pasukan Singa Utara, V. Thinagaran tetapi terlewat
apabila pemain tersebut diikat terlebih awal oleh Perlis.
Domi
menjelaskan, keputusan untuk menerima tawaran Pulau Pinang diambil selepas
berpuas hati dengan segala syarat yang diberikan termasuk kedudukan gajinya.
Selain itu, kata
Domi, keinginannya ke Pulau Pinang juga berdasarkan kepada kedudukannya yang
berhampiran dengan keluarganya di Kulim, Kedah.
''Berdasarkan
faktor ini, hanya dua pasukan menjadi pilihan iaitu Perlis dan Pulau Pinang
kerana kedudukannya yang begitu menyelesakan saya dan keluarga,'' tambahnya.
Namun, kata
Domi, tawaran Perlis tidak menepati syarat sebagaimana Pulau Pinang yang
memikat hatinya untuk terus menyarung jersi Harimau Kumbang.
Sebelum ini,
kata Domi, dia turut menerima tawaran daripada pasukan lain seperti Perak dan
Negeri Sembilan, malah turut dipelawa oleh jurulatihnya musim lalu, Abdul
Rahman untuk ke Terengganu.
''Memang ada
tawaran daripada negeri-negeri ini (Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu),
tetapi saya tidak pernah mengadakan perbincangan lanjut kerana tertarik di
Pulau Pinang.
Dengan kehadiran
Domi, barisan depan Pulau Pinang dijangka kembali ''menyengat'' selepas
penyerang G. Shanmugam dan Abdul Ghaffar Hoosen terpaksa berehat agak lama
kerana menjalani pembedahan kaki.
Apatah lagi,
kembalinya penyerang Merzagua Abderrazak akan menjadi gandingan mantap Domi
untuk membawa cabaran Pulau Pinang.
Sumber-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FE77yl6x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan