Rabu, 27 Julai 2016

P. Pinang turun tanpa Ahmad Sobri, Domi


 

ARKIB : 02/03/1998
AHMAD SOBRI ISMAIL.

PULAU Pinang ditimpa masalah berganda menjelang pertemuan menentang skuad Olimpik 2000, apabila penyerang harapannya, Domi Che Non dilanda kecederaan pada ketika isu yuran perpindahan penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail belum lagi selesai, lapor FAIZUL ABD. SHUKOR.

Bagaimanapun, tindakan mengejut Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) meminta bayaran perpindahan RM80,000 ke atas Ahmad Sobri Khamis lalu, tidak menjejaskan persiapan terakhir skuad Harimau Kumbang itu untuk menghadapi perlawanan pembukaan esok.

Pasukan berkenaan tetap menjalani latihan terakhir di Stadium Bandaraya petang semalam, biarpun tanpa kehadiran Ahmad Sobri dan Domi, yang mengalami kecederaan buku lali.

Jurulatih Pulau Pinang, Moey Yok Ham, berkata walaupun Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) masih menanti jawapan daripada KFA, persiapan terakhir tetap diteruskan.

''Bagi menyelesaikan kes ini FAP telah meminta Ahmad Sobri pulang dan berbincang dengan pengurusan pasukan lama untuk diselesaikan secepat mungkin.

''Bagaimanapun saya berharap KFA tidak mengambil kesempatan untuk menggugatkan persediaan kita untuk bertemu skuad Olimpik esok,'' katanya kepada Sukan Utusan di Stadium Bandaraya, semalam.

Namun begitu, Moey berkata, Pulau Pinang tetap bernafas lega dengan kehadiran penjaga gol, Megat Amir Faizal, Ruslan Abdul Rahim dan Shahul Hamid yang berkeupayaan mengisi tempat Ahmad Sobri.

Katanya lagi, Domi yang tidak turun berlatih selama beberapa hari mungkin tidak disenaraikan ketika perlawanan pembukaan nanti dan tempatnya akan diisikan oleh G. Shanmugan.

Keputusan itu menyaksikan G. Shanmugan, sekali lagi akan berganding dengan tonggak import, Merzagua Abderrazzak bagi menguatkan jentera serangan.

''Kita berharap gandingan yang pernah beraksi bersama dua tahun lalu akan melakukan kejutan nanti,'' katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, FAP tidak akan membuat sebarang bayaran pampasan kepada Kedah.

Katanya, jika KFA betul-betul tidak mahu melepaskan Ahmad Sobri, FAP sedia menyerahkan semula pemain itu kepada pasukan berkenaan.

''Walau apa cara sekalipun, kita tidak akan membayar sesen pun yang diminta oleh KFA,'' tegasnya

Menurut Dr. Ibrahim lagi, jika FAP menyerahkan semula Ahmad Sobri kepada Kedah, segala bayaran mahupun gaji akan diuruskan semula oleh negeri itu.

''Bagaimanapun, keputusan muktamad akan diketahui Isnin ini (hari ini),'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fc1qenRF © Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan