Sabtu, 26 November 2016

Gol Azman ceriakan P. Pinang

ARKIB : 24/03/1999
SKUAD Harimau Kumbang terus garang mencipta kemenangan kedua apabila menewaskan Brunei 2-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Paling manis, kemenangan tersebut dihasilkan dalam masa permainan sebenar di hadapan hampir 7,000 penonton di gelanggang sendiri.

Penyerang, Azman Adnan memulakan tirai jaringan Pulau Pinang menerusi tendangan penalti pada minit ke-47 sebelum Ooi Hoe Guan menambah gol minit ke-79.

Babak awal separuh masa pertama sekadar menyaksikan kedua-dua pasukan gagal melakukan gerakan cantik tanpa sebarang percubaan berbahaya.

Bagaimanapun kesilapan pertahanan Pulau Pinang hampir mengundang padah apabila Brian Iman Abdullah memperoleh satu kesempatan terbaik tetapi rembatannya terkena badan penjaga gol, Azlisham Ibrahim pada minit ke-16.

Pulau Pinang cuba membalas asakan tetapi kepincangan barisan tengah, memudahkan pertahanan lawan menyekat kemaraan pasukan tuan rumah itu.

Dalam satu kekalutan dalam kubu Brunei, Pulau Pinang mendapat peluang terbaik menerusi Ng Kok Heng namun sepakannya dari jarak 20 meter terkeluar pada minit ke-33.

Sekali lagi, Pulau Pinang kembali cemas apabila Brian melepasi benteng pertahanan tuan rumah. Bagaimanapun tolakannya keluar sekalipun penjaga gol, Azlisham sudah tertewas pada minit ke-41 untuk mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada babak pertama.

Separuh masa kedua menyemarakkan semangat Pulau Pinang, yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Brunei sehingga memaksa pemain pasukan pelawat membuat beberapa kesilapan.

Akhirnya, bola yang terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Brunei di depan pintu gol memaksa pengadil, M. Saminathan menghadiahkan tendangan penalti kepada Pulau Pinang, yang mudah disempurnakan Azman pada minit ke-47.

Jaringan tersebut menambah lagi semangat Pulau Pinang untuk melakukan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Brunei.

Kesempatan terhidang buat Azman yang hanya berdepan penjaga gol, Yunus Yusof tetapi sepakannya pula melepasi palang pada minit ke-76.

Walaupun gagal, Azman bertindak cemerlang memastikan hantarannya ditolak masuk pemain gantian Ooi Hoe Guan, tiga minit kemudian.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RBRnEned © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan