ARKIB : 04/04/1999
HAJAT besar Sarawak tercapai
apabila sekali lagi menewaskan pasukan bergelar juara dengan kemenangan
menerusi sepakan penalti 5-3 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan bola sepak
Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Selepas menumpaskan juara Piala
Malaysia, Perak 3-0, Sarawak yang hanya beraksi 10 pemain apabila tonggaknya
Mohd. Nazri Yunos diperintah keluar padang masih mampu mengikat Pulau Pinang
0-0 dalam tempoh 90 minit permainan.
Pulau Pinang selaku juara
Perdana Satu beraksi hambar malah kegagalan Suresh Kumar menyempurnakan sepakan
penalti memberi kelebihan kepada Sarawak.
Sarawak memperoleh jaringan
penalti menerusi Bobby Chua, Bobby Pian, Mohd. Dahalan Matusin, Ibrahim Mantali
dan Samsul Napiah sementara Pulau Pinang melalui Azman Adnan, Hasmawi Hassan
dan Asmawi Bakiri.
Rentak awal agak pantas namun
keadaan padang yang basah akibat hujan menyebabkan pemain kedua-dua pasukan
gagal mengawal bola dengan baik.
Malang bagi Sarawak apabila
pemain tengahnya Mohd. Nazri Yunos diperintah keluar padang oleh pengadil Abdul
Halim Abdul Hamid kerana tindakannya menjatuhkan Ng Kok Heng dengan kasar dari
belakang pada minit keenam.
Walaupun beraksi sepuluh
pemain, Sarawak meneruskan kemaraan. Dalam satu percubaan, ketua pasukan
Sarawak Mohd. Ali Sapiee mendapat peluang terbaik tetapi rembatannya dari jarak
20 meter ditepis penjaga gol Pulau Pinang Azlisham Ibrahim pada minit ke-11.
Selepas berakhir 45 minit tanpa
jaringan, tuan rumah kembali menguasai babak kedua dengan gerakan lebih
tersusun.
Azman membuat satu hantaran
cantik di depan gawang Sarawak tetapi Shanmugam gagal melakukan penyudah pada
minit ke-47.
Bagaimanapun kesempatan
terhidang lagi buat Pulau Pinang, yang menyaksikan tendangan Moey Kok Hong
melepasi palang pada minit ke-62.
Enam minit kemudian, penjaga
gol Sarawak gagal menangkap kemas percubaan Shanmugam tetapi bola yang muntah
gagal disepak masuk oleh Azman.
SUMBER-
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel http://ww1.utusan.com.my/utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan