Rabu, 2 Ogos 2017

Pulau Pinang raih kemenangan pertama di halaman sendiri



Mohd. Firdaus Ismail



26 Julai 2017 11:23 PM
BATU KAWAN 26 Julai - Skuad Harimau Kumbang akhirnya berjaya melakar kemenangan pertama di halaman sendiri dalam saingan Liga Super musim ini dengan menewaskan Pahang 2-0 sebentar tadi.


Beraksi di Stadium Negeri di sini, tuan rumah membuka jaringan seawal minit ke-7 menerusi Mark Hartman dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.


Memasuki babak kedua, skuad kendalian  Zainal Abidin Hassan terus melancarkan serangan ke arah gawang Tok Gajah dan hasilnya Sanna Nyassi berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-64.


Bagaimanapun, Pulau Pinang masih menghuni tangga tercorot liga dengan mengumpul 12 mata - UTUSAN ONLINE

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pulau-pinang-raih-kemenangan-pertama-di-halaman-sendiri-1.507853#ixzz4ob7Siwg4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 1 Jun 2017

Kamarulzaman perkuat `Harimau Kumbang'



ARKIB : 21/07/2005

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM

PULAU PINANG - Skuad Pulau Mutiara mendapat khidmat penjaga gol Sarawak, Kamarulzaman Hassan untuk mengukuhkan benteng pasukan itu bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang bermula 6 Ogos depan.

Penyertaan bekas penjaga gawang Pulau Pinang itu diibaratkan bagai sireh pulang ke gagang apabila sedia menabur bakti bagi membantu pasukan lamanya bersaing dalam Kumpulan B bersama Negeri Sembilan, Telekom Melaka dan Kuala Lumpur.

Meskipun, kudrat anak kelahiran Jasin, Melaka itu turut ditagih oleh Perak, namun, anak muda berusia 26 tahun itu lebih `senang' untuk bersama dengan rakan-rakan lamanya di Pulau Mutiara. Bekas penjaga gol kebangsaan yang turun menjalani latihan di Padang Universiti Sains Malaysia (USM) di Minden, petang kelmarin tampak gembira dan tidak sabar-sabar untuk membantu skuad Harimau Kumbang bersaing merebut piala berprestij itu.

``Saya menjanjikan aksi terbaik bagi membantu Pulau Pinang untuk pergi jauh (merebut Piala Malaysia). Namun tempat saya dalam pasukan bukan mudah, malah perlu bersaing dengan penjaga gol sedia ada,'' katanya ketika ditemui, kelmarin.

Pulau Pinang kini menggunakan khidmat dua penjaga gol, Mohd Fazrul Rodzi dan Sharifuddin Shahrill berikutan kecederaan berpanjangan Azuan Othman hampir tiga bulan lalu.

Kelibat Kamarulzaman bakal disaksikan oleh peminat skuad Pulau Mutiara pada perlawanan pertama menentang Telekom Melaka di Stadium Bandaraya.

Sementara itu, menurut Jurulatih Penjaga Gol, Noor Mohd. Sultan, penilaian tahap kecergasan dan persembahan Kamarulzaman perlu dilakukan bagi memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Katanya, penjaga gol muda itu mempunyai kelebihan menangkap bola tinggi di samping kemahiran mengesan pergerakan pasukan lawan.

``Selain itu, Kamarulzaman mempunyai kelebihan daripada aspek fizikal yang tinggi dan tegap memudahkannya untuk menyaingi pemain lawan,'' katanya.

Dalam pada itu, Kamarulzaman yang ditanya kemungkinan akan kembali menyarung jersi skuad Pulau Mutiara musim depan berkata; ``Saya masih mempunyai kontrak bersama Sarawak sehingga akhir 2006. Selepas itu, saya belum memikirkan sama ada untuk terus bersama Sarawak atau sebaliknya.''

Kamarulzaman yang menganggotai skuad negara pada tahun 2000 dan 2001 menyertai APulau Pinang selama tiga tahun bermula 2000 sebelum berubah angin ke Bumi Kenyalang pada musim 2004.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ik0uYOmG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 31 Mei 2017

Harimau Kumbang buka pintu - Piala Malaysia 2005



ARKIB : 13/07/2005

Oleh: WAN NAJIB WAN DAUD

PULAU PINANG - Setelah berjaya mengekalkan kedudukan untuk bersaing dalam Liga Super musim depan, skuad Harimau Kumbang kini membuka pintu kepada mana-mana pemain yang ingin menabur bakti untuk pasukan itu dalam menghadapi persaingan Piala Malaysia awal Ogos ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Zain Omar berkata, pelawaan terbuka kepada mana-mana pemain yang menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh pasukan ini bagi menghadapi saingan piala berprestij itu.

``Memang kami memerlukan pemain baru untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Piala Malaysia kerana ketika ini Pulau Pinang menghadapi banyak masalah terutamanya pemain-pemain yang menghadapi kecederaan yang berpanjangan dan masalah itu jugalah yang menyebabkan prestasi pasukan terumbang-ambing di pusingan ketiga Liga Super,'' katanya yang ditemui selepas perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Katanya, Pulau Pinang memerlukan pemain baru selepas persembahan yang mengecewakan dalam Liga Super sehingga nyaris terhumban ke Liga Perdana musim depan.

Mengulas lanjut, Mohd. Zain berkata, beliau akan menyerahkan tanggungjawab untuk mencari pemain baru kepada Norizan Bakar sebelum saingan Piala Malaysia bermula Ogos ini dan masa rehat minggu ini akan digunakan sepenuhnya untuk para pemain memulihkan kecederaan dan meningkatkan prestasi mereka.

Ditanya sama ada skuad Harimau Kumbang benar-benar memerlukan `angin baru' untuk menghadapi saingan Piala Malaysia, beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa pasukannya memang memerlukan suntikan pemain baru cuma ia perlu diteliti posisi mana yang perlu diperkuatkan.

Katanya, saingan Piala Malaysia berada dalam kelas tersendiri dan ia berbeza dengan saingan Liga Super atau Piala FA.

Tambah Mohd. Zain, semua pasukan yang layak ke Piala Malaysia mempunyai peluang yang sama rata.

``Kita berusaha untuk menyediakan segala keperluan mereka dan kini tiba masanya untuk mereka memberi balik apa yang telah diberi terutamanya kepada para penyokong yang setia memberi sokongan kepada pasukan Pulau Pinang,'' ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iikztLNd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pulau Pinang, MPPJ lega, Sabah, Public Bank derita



ARKIB : 10/07/2005

Pemain Pahang, Rosdi Talib (kanan) berjaya mengawal bola walaupun cuba ditarik pemain pertahanan Perak, V.Thirumurugam pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi. Pahang muncul naib juara Liga Super selepas menang 1-0 - Gambar Ghazali Basri.

KUALA LUMPUR - Kekalahan membawa padah buat Sabah dan Public Bank yang akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan selepas masing-masing tewas dalam perlawanan terakhir bola sepak Liga Super, malam tadi.

Ketika Sabah dan Public Bank memikirkan nasib malang mereka, Pahang pula mengukir senyuman apabila dinobatkan selaku naib juara Liga Super selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Darul Makmur.

Mohd. Fadzli Saari muncul hero Pahang apabila menggegarkan gawang Perak dengan merembat kencang selepas menerima hantaran cantik daripada Bernard Samuel Tchoutang pada minit ke-40.

Kemenangan milik Pahang cukup melegakan, menebus kehampaan anak didik Zainal Abidin Hassan menjulang kejuaraan liga yang dirampas oleh Perlis.

Di Stadium Likas, Sabah yang menduduki tangga terbawah liga menderita gara-gara gol jaringan pemain sendiri, Leosmar Nascimento pada minit ke-70 membawa padah kekalahan tipis 1-0 kepada MPPJ.

Kejayaan itu memastikan juara Piala Malaysia 2003, MPPJ mengiringi Perlis, Pahang, Perak dan Telekom yang lebih awal mengekalkan kedudukan ke Liga Super musim 2006.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menghela nafas lega dengan gol tunggal jaringan Jose Marcio Barreto seawal minit keempat memastikan skuad Pulau Mutiara kekal di Liga Super musim depan.

Di Stadium Utama, juara Liga Super musim ini, Perlis meneruskan aksi cemerlang apabila menewaskan Telekom 4-0.

Kemenangan manis itu turut diserikan dengan upacara ringkas tetapi meriah apabila Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail menyerahkan Piala Liga Super 2005 kepada ketua pasukan Singa Utara, Mohd. Khaironnisam Shahabuddin sejurus wisel penamat ditiup.

Sebaik pemain pertahanan kebangsaan itu menjulang piala tersebut, Stadium Utama bergema dengan sorakan lebih 25,000 penyokong dan persembahan bunga api yang menerangi ruang angkasa bandar Kangar diiringi lagu `We Are The Champion'.

Gol-gol Perlis dijaringkan oleh Zacharia Simukonda (m-46 dan m-90) Yusri Che Lah (m-64) dan Adrien Jurad Chamrong (m-87).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iiVfU3Ql
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 29 Mei 2017

Memang patut kalah - Norizan



ARKIB : 09/05/2005

PULAU PINANG - ``Kalau beginilah corak permainan yang dipamerkan, kami patut kalah kepada lawan yang lebih baik,'' itulah kata-kata jurulatih Pulau Pinang, Norizan Bakar sejurus ditemui selepas perlawanan Liga Super menentang MPPJ, malam kelmarin, lapor wan najib wan daud.

Di wajahnya jelas terpancar kekecewaan yang amat sangat dengan prestasi anak-anak buahnya yang gagal mempertahankan kelebihan jaringan selepas mendahului lawan 2-1.

Katanya, semua bahagian gagal berfungsi baik dan malah ada para pemainnya bermain dengan sikap lewa dan tidak memberi sepenuh perhatian terhadap perlawanan.

Norizan berkata, gol penyamaan pantas yang dijaringkan oleh pasukan pelawat pada minit ke-65 merupakan titik tolak kekalahan pasukannya yang dilihat gagal berfungsi baik dan menampakkan serba tidak kena dengan tahap permainan keseluruhan pasukan.

Beliau mengakui, para pemainnya bermain di bawah tahap sebenar dan sepatutnya selepas mendahului lawan mereka seharusnya mengekalkan rentak permainan agar keputusan memihak kepada mereka.

Norizan yang enggan mengulas lanjut mengenai tahap permainan pasukannya berkata, beliau akan mencari punca kekalahan skuad Pulau Mutiara itu bagi menghadapi perlawanan seterusnya dan mengekalkan rentak untuk memberi saingan kepada pendahulu liga iaitu Perlis dan Pahang.

Dalam perlawanan Liga Super malam kelmarin, Pulau Pinang tersentak apabila menanggung kekalahan kali kedua berturut-turut, kali ini 2-3 kepada MPPJ dan menyukarkan hasrat anak buah Norizan Bakar untuk menghampiri dua pasukan teratas.

Bermula dengan baik, Pulau Pinang menanti agak lama sebelum ketua pasukan Jose Barreto dapat memecah kebuntuan apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti menerjah jaring MPPJ pada minit ke-41 untuk mendahului pelawat di babak pertama.

Begitupun, MPPJ menunjukkan kebangkitan menarik sebaik bermula babak kedua dengan pemain import dari Argentina, Fabricio Franceschi menyamakan kedudukan hasil tandukan daripada hantaran silang Kamarulzaman Majid selepas tiga minit bersambung sebelum berada di depan menerusi tandukan Mohd Zaidi Zaing hasil bola lintang Ben Katanha pada minit ke-60.

Namun, Barreto yang banyak bertindak di bahagian depan, menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian apabila larian solo melepasi tiga pertahanan lawan sebelum disudahi dengan rembatan yang menewaskan Yazid Yassin pada minit ke-63.

Begitupun, anak buah Reduan Abdullah hanya mengambil masa dua minit untuk kembali di depan apabila Franceschi menjadi pemusnah dengan tandukan mudah menewaskan penjaga gol Azuan Othman menerpa keluar dan bertahan sehingga wisel penamat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iTew7eT9
© Utusan Melayu (M) Bhd