Isnin, 29 Mei 2017

Memang patut kalah - Norizan



ARKIB : 09/05/2005

PULAU PINANG - ``Kalau beginilah corak permainan yang dipamerkan, kami patut kalah kepada lawan yang lebih baik,'' itulah kata-kata jurulatih Pulau Pinang, Norizan Bakar sejurus ditemui selepas perlawanan Liga Super menentang MPPJ, malam kelmarin, lapor wan najib wan daud.

Di wajahnya jelas terpancar kekecewaan yang amat sangat dengan prestasi anak-anak buahnya yang gagal mempertahankan kelebihan jaringan selepas mendahului lawan 2-1.

Katanya, semua bahagian gagal berfungsi baik dan malah ada para pemainnya bermain dengan sikap lewa dan tidak memberi sepenuh perhatian terhadap perlawanan.

Norizan berkata, gol penyamaan pantas yang dijaringkan oleh pasukan pelawat pada minit ke-65 merupakan titik tolak kekalahan pasukannya yang dilihat gagal berfungsi baik dan menampakkan serba tidak kena dengan tahap permainan keseluruhan pasukan.

Beliau mengakui, para pemainnya bermain di bawah tahap sebenar dan sepatutnya selepas mendahului lawan mereka seharusnya mengekalkan rentak permainan agar keputusan memihak kepada mereka.

Norizan yang enggan mengulas lanjut mengenai tahap permainan pasukannya berkata, beliau akan mencari punca kekalahan skuad Pulau Mutiara itu bagi menghadapi perlawanan seterusnya dan mengekalkan rentak untuk memberi saingan kepada pendahulu liga iaitu Perlis dan Pahang.

Dalam perlawanan Liga Super malam kelmarin, Pulau Pinang tersentak apabila menanggung kekalahan kali kedua berturut-turut, kali ini 2-3 kepada MPPJ dan menyukarkan hasrat anak buah Norizan Bakar untuk menghampiri dua pasukan teratas.

Bermula dengan baik, Pulau Pinang menanti agak lama sebelum ketua pasukan Jose Barreto dapat memecah kebuntuan apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti menerjah jaring MPPJ pada minit ke-41 untuk mendahului pelawat di babak pertama.

Begitupun, MPPJ menunjukkan kebangkitan menarik sebaik bermula babak kedua dengan pemain import dari Argentina, Fabricio Franceschi menyamakan kedudukan hasil tandukan daripada hantaran silang Kamarulzaman Majid selepas tiga minit bersambung sebelum berada di depan menerusi tandukan Mohd Zaidi Zaing hasil bola lintang Ben Katanha pada minit ke-60.

Namun, Barreto yang banyak bertindak di bahagian depan, menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian apabila larian solo melepasi tiga pertahanan lawan sebelum disudahi dengan rembatan yang menewaskan Yazid Yassin pada minit ke-63.

Begitupun, anak buah Reduan Abdullah hanya mengambil masa dua minit untuk kembali di depan apabila Franceschi menjadi pemusnah dengan tandukan mudah menewaskan penjaga gol Azuan Othman menerpa keluar dan bertahan sehingga wisel penamat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iTew7eT9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan