ARKIB :
12/01/1998
Barisan pemain
ternama serbu Pulau Pinang
PULAU Pinang
bakal dibarisi 'bintang-bintang tempatan' pada kempen bola sepak Liga Malaysia
musim ini selepas persatuan bola sepak negeri itu mengubah dasar membenarkan
pemain tempatan dari negeri lain beraksi untuk pasukan Pulau Mutiara itu,
ROZAMAN ISMAIL melaporkan.
Skuad itu
dijangka berwajah baru apabila bakal disertai pemain-pemain ternama yang pernah
digelar bintang sewaktu bersama bekas pasukan masing-masing.
Jika sebelum ini
naib juara Piala FA 1997 itu hanya mengutamakan anak-anak kelahiran negeri itu
sahaja, kali ini mereka bersikap lebih terbuka dengan menawarkan peluang kepada
mana-mana pemain yang masih belum mempunyai pasukan menyertai pasukan Pulau
Pinang.
Ketika skuad
Harimau Kumbang itu sudah hampir pasti mengikat pemain Perlis, Domi Che Non,
beberapa lagi pemain yang pernah mencipta nama dengan bekas pasukan
masing-masing dijangka turut mengikut jejak penyerang itu.
Antara yang
menjadi sasaran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) ialah bekas pemain
pertahanan Kelantan, Zahasmi Ismail dan Fauzi Soh serta dua bekas pemain
Selangor yang digugurkan baru-baru ini, Shahrin Majid dan Abdul Talib Sulaiman.
Sebelum ini dua
bekas pemain Sabah, Mohd. Jaya Kassim dan Suharmin Yusuf turut menyatakan minat
untuk menyarung jersi Pulau Pinang selepas mengadakan perbincangan dengan FAP.
Selain itu
beberapa lagi pemain utama dari Kedah, Pahang dan Perak turut berminat dengan
tawaran FAP itu.
Timbalan
Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad ketika ditemui mengesahkan FAP telah
mengadakan perbincangan dengan Shahrin, Talib, Zahasmi dan Fauzi beberapa hari
lalu.
''Saya sendiri
telah menemui Shahrin dan Talib minggu lalu dan mereka ada menyatakan minat
untuk bersama Pulau Pinang.
''Beberapa
pegawai jawatankuasa pemilihan pemain juga turut mengadakan perbincangan dengan
Zahasmi dan Fauzi.
''Pada masa ini
kita sedang menunggu jawapan mereka dan pintu pasukan Pulau Pinang sentiasa
terbuka luas untuk mereka,'' katanya lagi.
Mengenai
kedudukan Mohd. Jaya dan Suharmin, Dr. Ibrahim berkata, kedua-dua masih belum
menolak pelawaan Pulau Pinang sebaliknya sedang menimbangkannya dengan serius.
''Kedua-dua
pemain itu ada menghubungi saya beberapa hari lalu sebagai susulan kepada
tawaran FAP minggu lalu.
''Mereka masih
belum menolak pelawaan kita dan pintu untuk mereka masih terbuka luas walaupun
beberapa pasukan lain dikatakan turut memberi tawaran yang sama,'' ujarnya.
Beliau berkata,
beberapa pemain dari negeri lain turut menyatakan minat yang sama.
Dr. Ibrahim
bagaimanapun enggan menjelaskan identiti para pemain yang dimaksudkan itu.
Bagaimanapun
Sukan Utusan difahamkan, Zahasmi dan Fauzi hampir pasti menjadi milik Pulau
Pinang kerana kedua-duanya secara dasar amat tertarik dengan gaji serta
faedah-faedah yang ditawarkan oleh pasukan itu.
Kedua-duanya
dijangka datang ke Pulau Pinang dalam masa beberapa hari lagi untuk mengadakan
perbincangan lanjut serta menandatangani kontrak yang ditawarkan.
Ketika ditanya
adakah Pulau Pinang akan merasa kecewa sekiranya para pemain tersebut menolak
di saat-saat akhir, Dr. Ibrahim menegaskan, soal kecewa tidak timbul langsung.
''Perkara
tersebut adalah perkara biasa... para pemain berhak meneliti dan menimbang
dengan sebaik-baiknya setiap tawaran yang diterima demi masa depan mereka.
''Kalau tawaran
yang diterima baik, menarik, dapat menjamin masa depan serta memberi
kepuasan...mereka akan terima dan pasukan yang gagal tidak harus merasa
kecewa,'' tegasnya.
SUMBER-Artikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FF0r56Z2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan