Khamis, 28 Julai 2016

P. Pinang disuntik semangat baru

ARKIB : 19/03/1998
PULAU Pinang yang sudah layak ke separuh akhir pusingan kelayakan Perdana Satu kini menanam semangat dan tekad baru untuk merampas salah satu tempat Perdana Satu musim ini, lapor FAIZUL ABD. SHUKOR.

Kemenangan 1-0 ke atas Melaka di Stadium Kubu, malam kelmarin merupakan amaran awal kebangkitan skuad Harimau Kumbang yang sebelum ini mempamerkan permainan yang tidak konsisten sehingga meresahkan para peminat bola sepak di negeri ini.

Pulau Pinang sebelum ini menewaskan skuad Olimpik 2000 0-1 dan Melaka juga dengan jaringan 0-1 sebelum tewas mengejut kepada pasukan Olimpik 1-0 Sabtu lalu.

Siapa bakal menjadi lawan Pulau Pinang pada peringkat separuh akhir nanti bukan soal pokok tetapi apa yang lebih penting skuad itu seolah-olah sudah disuntik dengan satu semangat baru.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, skuad Harimau Kumbang kini lebih bersemangat malah sudah bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan yang bakal ditemui nanti.

Katanya, dengan semangat 'separuh akhir' Pulau Pinang ternyata lebih yakin untuk bermain dan memastikan pasukan itu berada di Perdana Satu.

Dr. Ibrahim memberitahu, pasukan mana akan menjadi lawan Pulau Pinang nanti sudah menjadi soal kedua kerana kejayaan ke separuh akhir lebih penting.

''Kini kita sudah layak, oleh itu dengan mana-mana pasukan kita berhadapan pada separuh akhir nanti bukan menjadi persoalan.

''Jika terlalu mengharap untuk bertemu pasukan lemah pada separuh akhir, bagaimana pula untuk menghadapi pasukan lain yang lebih mantap di Perdana Satu,'' katanya kepada Sukan Utusan sebaik saja mengetahui pasukan Pulau Mutiara telah layak ke separuh akhir.

Bagimanapun dalam perkembangan lain, Dr. Ibrahim tetap berharap penyerang Pulau Pinang, Domi Che Non, mampu beraksi pada perlawanan separuh akhir nanti.

Beliau juga berkata, kehadiran Domi sudah tentu akan menambah sengat Pulau Pinang dalam mengatur strategi baru di barisan serangan.

Jelasnya, Pulau Pinang mampu bertindak lebih garang pada pertemuan Selasa ini jika semua pemain seperti G. Shanmugam, Mohd. Fuad Mohd. Noor dan Yong Woon Seang dapat beraksi.

Untuk memastikan tahap kecergasan kesemua pemain Skuad Harimau Kumbang berada di tahap terbaik, Dr. Ibrahim berkata, FAP akan memastikan kesemua pemain diberi latihan mencukupi.

''Saya berharap strategi dan latihan di bawah jurulatih Moey Yok Ham akan berhasil,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FiB2JD22 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan