Khamis, 28 Julai 2016

Peminat kecewa Merzagua hilang bisa

ARKIB : 12/03/1998
KERESAHAN para penyokong ketika menyaksikan Pulau Pinang menentang Melaka di Stadium Bandaraya Sabtu lepas jelas terbayang apabila Merzagua Abderrazak tidak mampu beraksi seperti yang diharapkan, lapor FAIZUL ABD. SHUKOR.

Walaupun Pulau Pinang berjaya mengutip tiga mata, para penyokong tetap kecewa apabila sekadar menyaksikan Merzagua mampu bertindak dengan berkemahiran tinggi sewaktu menggelecek, tetapi tidak banyak membantu untuk muncul sebagai penjaring digeruni.

Kerana kegagalan itu sehingga kini para penyokong Harimau Kumbang masih 'mengidam' sesuatu yang memberangsangkan dari pemain import itu, tetapi sampai bilakah.

Apa jua yang menjadi keresahan peminat negeri itu sebenarnya turut dirasai oleh jurulatihnya, Moey Yok Ham yang juga tidak berpuashati dengan persembahan anak buahnya itu.

Moey ketika ditanya masalah itu, turut mengakui bahawa anak buahnya itu masih tidak mampu bertindak cemerlang seperti mana ia mula-mula menyertai Pulau Pinang seketika dulu.

Namun begitu katanya, skuad Pulau Mutiara masih memerlukan kemahiran individu pemain itu untuk membantu barisan tengah menghidupkan peluang jaringan.

Kalau dahulu harapan Pulau Pinang sering disandarkan kepada Merzagua tetapi kedua-dua perlawanan sebelum ini nampaknya tertumpu kepada dua pemain import lain, Modou Conde dan Fabio Da Silva.

Setelah menyaksikan kedua-dua perlawanan Pulau Pinang yang kini menduduki tangga teratas Kumpulan A, negeri itu hanya mampu ceria melalui pemain tempatan Mohd. Fuad Mat Noor dan Moey Kok Hong.

Jika dilihat pada keputusan perlawanan Melaka dengan skuad Olimpik 2000 semalam bermakna Pulau Pinang perlu mengubah barisan penyerang yang dibarisi oleh Merzagua bagi memastikan Pulau Pinang tidak akan menanggung keperitan dalam persaingan Liga Perdana.

Begitu juga sekiranya, Pulau Pinang terus mengharapkan gandingan benteng pertahanan yang diterajui oleh Zaidi Mat Ail, Fauzi Soh dan Chee Wan ia dikhuatiri akan dimalukan oleh Pasukan Olimpik 2000 Sabtu ini.

Walau bagaimanapun Moey memberitahu, Merzagua masih belum serasi dengan pemain baru yang lain.

Sebagai jurulatih, Moey berkata, beliau akan berusaha memastikan prestasi pemain itu tetap ditahap yang tinggi seperti yang diharapkan oleh peminat.

Beberapa peminat tempatan yang ditemui Sukan Utusan meramal jika situasi itu terus berlaku mungkin Pulau Pinang akan menerima padah di tempat sendiri Sabtu ini.

Dalam perkembangan lain, Moey turut meminta para peminat tidak mudah mempersalahkan pemain baru pulih kecederaan, G. Shanmugan kerana persembahan yang kurang memberangsakan.

Menurut Moey, pemain itu setakat ini masih tidak berbisa kerana kesan pembedahan yang dialami belum pulih sepenuhnya dan kurang menyakinkan untuk bekerja keras.

''Oleh itu, saya minta para peminat bersabar dan berikan sedikit masa untuk G. Shanmugan bertindak cemerlang,''.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FhXz3kzJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan