ARKIB : 01/02/1998
P. Pinang lebih mantap - Moey
KEHADIRAN enam pemain luar
meyakinkan naib juara Piala FA musim lalu, Pulau Pinang untuk mengharungi
perlawanan play-off untuk mengisi salah satu dari dua tempat ke Premier Satu.
Menurut jurulatihnya, Moey Yoke
Ham kemantapan Pulau Pinang nampak meyakinkan tidak lagi seperti mengharungi
kemalapan musim lalu.
''Saya begitu optimis peluang
Pulau Pinang untuk layak ke Premier Satu cerah jika berdasarkan barisan pemain
yang dimiliki kali ini,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Moey nyata lega dengan
kehadiran bekas penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri Ismail memperkukuhkan benteng
terakhir malah kelibat dua bekas pemain pertahanan Kelantan, Fauzi Soh dan
Zaidi Mat Ail melengkapkan lagi kekuatan di benteng.
Selain itu katanya, kehadiran
bekas pemain Perak dan skuad Olimpik Barcelona, Chee Wan Hoe memberi kekuatan
di benteng pertahanan.
Katanya, jentera serangan juga
tampak mantap dengan adanya bekas penyerang Perlis, Domi Che Non yang akan
berpasangan dengan pemain import yang dipanggil semula, Merzagua Abderrazzak.
Selain mengekalkan Balla Modou
Conde dan kehadiran ayam tambatan baru dari Brazil, Fadio Fanticelle Da Silva
akan memperkukuhkan bahagian tengah.
Seorang lagi pemain yang
ditambat oleh Pulau Pinang ialah bekas pemain skuad Liga Simpanan Kuala Lumpur,
Sharul Hamid.
''Biarpun saya masih belum
melihat aksi sebenar Fanticelle tetap saya yakin dia adalah seorang pemain yang
boleh menjanjikan sesuatu kepada Pulau Pinang.
''Jika dinilai satu demi satu
barisan musim ini boleh saya sifatkan pasukan kali ini jauh lebih mantap
berbanding ketika muncul naib juara Piala FA,'' katanya lagi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FR4ITCGO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan