ARKIB : 23/05/1999
SKUAD Harimau Kumbang kembali
garang dengan penjaring terbanyaknya, Azman Adnan mencipta hatrik ketika
menewaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan bola sepak Liga Perdana Satu di
Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam, lapor ZAINU'L AZHAR ASHA'RI dan YUSRI
SAHAT.
Kekalahan 2-4 kepada Brunei
menjadi pembakar semangat tuan rumah untuk meneruskan saingan memburu takhta
Perdana Satu.
Azman mencipta hatrik menerusi
gol minit ke-13, 35 dan 56 selepas Ooi Hoe Guan membuka tirai jaringan pada
minit ke-12.
Kuala Lumpur pula sekadar
menghasilkan dua jaringan menerusi ketua pasukan P. Saravanan pada minit ke-24
dan K. Hemadass pada minit ke-86.
Rentak permainan jelas memihak
kepada Pulau Pinang tetapi sepakan Azman Adnan ditepis penjaga gol Kuala
Lumpur, Kamarul Idham Amiruddin.
Akhirnya gerakan Pulau Pinang
berhasil juga apabila hantaran jauh Yong Woon Seang dirembat Azman yang
menyebabkan bola terlepas daripada tangkapan Kamarul. Bola muntah itu disudahi
Ooi Hoe Guan untuk jaringan sulung tuan rumah pada minit ke-12.
Azman menambah luka Kuala
Lumpur apabila menjaringkan gol kedua selepas menggelecek Kamarul sebelum
menendang masuk jaringan seminit kemudian.
Ketinggalan satu jaringan tidak
melemahkan Kuala Lumpur untuk merapatkan jurang apabila beroleh satu peluang
selepas pemainnya, K. Nanthakumar dijatuhkan Chee Wan Hoe di luar kawasan
penalti tuan rumah.
Sepakan percuma yang diberikan
pengadil D. Krishnan dari Pahang membawa jaringan oleh ketua pasukan Kuala
Lumpur, P. Saravanan pada minit ke-24.
Bagaimanapun, keghairahan
pelawat mencari penyamaan memakan diri apabila hantaran pemain tengah Pulau
Pinang, R. Suresh Kumar di depan gawang Kuala Lumpur mudah ditolak masuk Azman
pada minit ke-35 untuk skuad Harimau Kumbang mendahului 3-1 dalam babak
pertama.
Permulaan babak kedua pula
menambah derita Kuala Lumpur untuk Azman Adnan melengkapkan jaringan hatriknya
pada minit ke-56.
Tuan rumah terus mengatur serangan
tetapi percaturan jurulatih Mat Zan Mat Aris mengeluarkan Farid Dewan ternyata
berhasil apabila pemain gantiannya, K. Hemadass menjaringkan gol keduanya pada
minit ke-86.
Sementara itu, Brunei
mematahkan sayap Kenari 3-2 di hadapan 8,000 penyokong Kedah di Stadium Darul
Aman, Alor Setar.
Tanpa penyerang berbisa, Ahmad
Zalghafari Manaf dan Nurul Ahyat, barisan serangan Kedah ternyata tumpul untuk
membolosi benteng Brunei.
Kelemahan itu memberi peluang
kepada Brunei membolosi gawang Kedah sebanyak tiga kali menerusi Rosanan Samak
(49), Mohd. Brian Iman Bothwell (66) dan Raphael Patron Akakpo, tiga minit
kemudian.
Gol Kedah oleh Norizam Ali
Hassan pada minit ke-21 dan Rafiz Abu Bakar pada minit terakhir perlawanan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlqJJblN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan