ARKIB : 30/05/1999
PULAU Pinang menghampakan
Sarawak 3-1 menerusi sepakan penalti sekalipun kedua-dua pasukan terikat 1-1
dalam masa sebenar perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak,
Petra Jaya, semalam.
Skuad Harimau Kumbang
menyudahkan penalti menerusi Hasmawi Hasan, V. Thinagaran dan Ng Kok Heng
sementara tuan rumah membalas menerusi Samsul Napiah.
Bujang Senang sebelum itu pada
masa permainan sebenar membuka tirai jaringan menerusi Ibrahim Mantali seawal
minit kelima selepas merembat cantik bola sepakan sudut Ramos Sari.
Namun Harimau Kumbang
menyamakan kedudukan apabila tendangan kencang Moey Kok Hong pada minit ke-78
menepati sasaran hasil sepakan percuma di luar kotak penalti.
Kedua-dua pasukan seri tanpa
jaringan di Stadium Bandaraya, 3 April lalu tetapi kemenangan berpihak kepada
Sarawak 5-3 melalui sepakan penalti.
Malang menimpa Ibrahim apabila
diperintah keluar padang pada minit ke-22 selepas dilayangkan kad merah oleh
pengadil, Zainal Abidin Yaacob kerana bertindak kasar terhadap pemain lawan.
Turut menerima nasib yang sama
ialah pemain Pulau Pinang, R. Suresh Kumar apabila turut terbabit dalam insiden
yang hampir mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pasukan.
Sekalipun beraksi dengan 10
pemain, tuan rumah dan pelawat tetap bersemangat melancarkan serangan bertali
arus dan mempamerkan corak permainan yang menarik.
Sementara itu, penyerang, Mohd.
Farid Dewan yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua, menjaringkan
gol kemenangan ketika perlawanan berbaki enam minit untuk membantu Kuala Lumpur
menewaskan Kedah 2-1 di Stadium KLFA, Cheras, semalam.
Sebelum itu, Kedah membuka
jaringan pada minit ke-28 menerusi Norizam Ali Hassan tetapi G. Muthu
menyamakan kedudukan pada minit ke-42.
Namun, Kuala Lumpur membuat
kejutan awal dengan percubaan pertama menerusi pemain tengah, Azmir Nor Hakim
Burhan yang menyepak kencang ke gawang pada minit ke-23 tetapi penjaga gol
Kedah, Azuan Othman bertindak cemerlang melayangkan badan menepis keluar.
Tersentak dengan ancaman itu,
Kenari bangkit menyusun gerakan dan lima minit kemudian, Farouk Ismail membuat
umpanan lintang ke tengah dan B. Alagavelu melonjak tinggi untuk menanduk
tetapi bola terkena palang gol.
Norizam yang berada di depan
gol pantas menolak masuk bola muntah itu untuk gol pembukaan menewaskan penjaga
gol warga kota, Kamarul Idham Amiruddin.
Mohd. Nizaruddin Yusof berjaya
melorongkan bola kepada Muthu selepas berlaku pergelutan di depan gawang Kedah
dan Muthu tenang merembat masuk untuk mengikat kedudukan 1-1 pada babak
pertama.
Pemain pertahanan Kenari,
Adrien Jurad Chamrong diperintah keluar padang kerana mengasari dari belakang
pemain Kuala Lumpur.
Kesempatan itu digunakan Kuala
Lumpur mengasak kubu Kedah tetapi dua peluang terbaik disia-siakan oleh S.
Saravanan dan Muthu pada minit ke-55 dan 57.
Namun, Kuala Lumpur pula
terpaksa beraksi sepuluh pemain pada minit ke-85 apabila Mohd. Khairi Zainuddin
dilayangkan kad merah kerana menerima kad kuning kedua.
Begitu pun, Farid akhirnya
berjaya menghadirkan gol yang dinanti-nanti seminit selepas itu apabila
tendangannya terkena kaki pertahanan Kedah, Zainal Abidin yang terus menerjah
jaring.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RmsYF0TN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan