ARKIB : 24/04/2000
PENCARIAN pertama yang
dihasilkan Pulau Pinang menerusi kemenangan sulung 2-1 ke atas Perlis dalam
saingan bola sepak Perdana Satu seharusnya menjadi penyemarak kepada pemain
skuad 'Harimau Kumbang' untuk terus memungut mata penuh pada perlawanan akan datang.
Selepas menempuh dua perlawanan
yang mencatat keputusan seri, 'kempunan' Pulau Pinang berakhir di gelanggang
sendiri Stadium Bandaraya selepas diberi tentangan sengit oleh Perlis.
Jurulatih Pulau Pinang, Irfan
Bakti berkata, beliau lega dengan kemenangan pertama itu setelah pasukan
bimbingannya sering kali menghadapi kesukaran untuk mempertahankan kubu setiap
kali mendahului lawan.
''Dalam dua saingan Perdana
Satu menentang Negeri Sembilan dan Perak, kita gagal menyekat lawan daripada
menyamakan kedudukan selepas mendahului mereka,'' kata beliau selepas berakhir
perlawanan di antara Pulau Pinang dengan Perlis di stadium berkenaan, kelmarin.
Bagaimanapun, kata beliau,
pemain akhirnya memastikan Pulau Pinang memperoleh tiga mata berharga menerusi
kemenangan ke atas Perlis.
Sementara itu, jurulatih
Perlis, Tajuddin Nor memberitahu, kekalahan tersebut disebabkan kegagalan
pemain mengekalkan rentak sebagaimana separuh masa pertama selepas menyambung
aksi babak kedua.
''Kita menguasai permainan
babak pertama tetapi tertekan menerusi asakan Pulau Pinang yang berjaya mencari
dua gol dalam separuh masa kedua.
''Walaupun ketinggalan, Perlis
tetap mempamerkan semangat tinggi sehingga berjaya merapatkan jurang menerusi
gol minit ke-82,'' tambah beliau.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TIfLidum
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan