ARKIB : 25/04/1999
PERAK1 Pulau Pinang 0
JARINGAN tunggal pemain tengah
Perak, Azrul Amri Burhan pada awal permainan membantu skuad Seladang menang
1-0, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu liga, Pulau Pinang pada
perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Azrul yang bermain baik
sepanjang permainan penuh, merembat bola masuk dari jarak dekat pada minit
ke-11 hasil sepakan sudut dari sebelah kanan Pulau Pinang.
Pulau Pinang, yang tewas besar
1-4 kepada Terengganu dalam Piala FA Selasa lalu, menurunkan bintang
penyerangnya, Azman Adnan tetapi bekas penyerang kebangsaan dan Selangor itu
gagal melepasi benteng kukuh Perak yang diterajui Roslan Hamid.
Begitu pun, pasukan pelawat
lebih menguasai permainan apabila gandingan Azman dan Hasmawi Hassan kerap
menghuru-harakan benteng Perak namun skuad juara Piala Malaysia itu tidak
goyah.
Jelas peranan jurulatih Perak,
Karl Heinz Weigang tetap diperlukan untuk melihat Seladang mencapai kemenangan
selepas prestasi tidak menentu sebelum ini.
Biarpun lebih banyak bertahan,
Perak, yang beraksi dalam dua perlawanan tanpa Weigang yang kembali ke negara
minggu lalu, masih cuba mencari gol untuk melebarkan jaringan tetapi barisan serangannya
yang dikemudi Mior Nor Samsul Kamal gagal menepati sasaran. Tidak banyak
peluang menghasilkan gol dicipta oleh kedua-dua pasukan pada kedua-dua separuh
masa kecuali satu peluang yang diperoleh Perak yang berjaya dimanfaatkan Azrul
untuk Perak kembali bangkit memberi saingan dalam Perdana Satu.
Kekalahan Pulau Pinang yang
juga juara bertahan Perdana Satu, tidak mengubah kedudukan skuad Moey Yoke Ham
itu selaku pendahulu liga dengan 17 mata daripada lapan perlawanan.
Manakala Perak kekal di tangga
kelapan liga dengan 10 mata selepas lapan perlawanan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rf9WaKNJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan