|
|
IPOH - Pulau Pinang terus melakukan kejutan apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perak dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Perak, di sini, malam tadi.
Skuad Harimau Kumbang itu memperoleh jaringan menerusi sepakan penalti Jose Marcio Barreto pada minit ke-78 selepas penjaga golnya, Hamsani Ahmad menjatuhkan pemain import dari Rusia, Viatcheslav Melnikov.
Malang buat Perak, kerana tindakan Hamsani turut menyebabkan dia diperintahkan keluar padang oleh pengadil, Rashidi Hamat.
Berikutan itu, Perak terpaksa mengeluarkan Haridzul Izwan untuk memasukkan penjaga gol simpanan, Tay Sin Kiat yang ternyata gagal menampan sepakan penalti Marcio Barreto.
Sebelum itu, perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan kedudukan separuh masa pertama kekal tanpa jaringan.
Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, juara Liga Super 2004, Pahang turut menerima kejutan apabila tewas 0-1 kepada juara Piala Malaysia tahun lalu, Perlis.
Perlis memperoleh gol tunggal itu menerusi pemain importnya, Zacharia Simukonda pada minit ke-59 selepas mendapat hantaran daripada Mohd. Lamin Conteh.
Sementara itu, di Stadium Petaling Jaya, MPPJ Selangor perlu menyalahkan diri sendiri apabila peluang terbaik untuk mencatat kemenangan pertama disia-siakan selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Telekom Melaka.
MPPJ yang tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini sepatutnya boleh mencapai kemenangan yang dicari setelah Telekom terpaksa beraksi dengan sembilan pemain apabila dua tonggak mereka dilayangkan kad merah dalam tempoh 19 minit babak perlawanan hendak ditamatkan.
Dua pemain Telekom yang dilayangkan kad merah oleh pengadil, Noor Azman Nordin ialah Njoh Njoh (minit 60) dan Uwagboi Henry Sunday (minit 71) selepas kedua-duanya mengkasari pemain MPPJ.
MPPJ jelas lebih banyak menguasai pentas saingan namun jentera serangan mereka menerusi Bruno Sebastian Martelotto, Mohd. Farid Dewan, Anuar Abu Bakar dan Sebastian Omar Monesterolo gagal menemui penyudah apabila memiliki banyak peluang di depan gol lawan.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah menamatkan kemarau kekalahan tiga kali berturut-turut apabila mengatasi Public Bank Selangor 2-1.
Gol-gol tuan rumah dihasilkan Julio Caesar Rodrigues pada(minit 32 dan 90.
Sementara, gol tunggal Public Bank dihasilkan Gustavo Andreas Fuentes pada minit ke-35.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan