Ahad, 7 Mei 2017

Jangan cepat berasa puas - Norizan



ARKIB : 08/02/2005

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD

PULAU PINANG - Jurulatih skuad Pulau Mutiara, Norizan Bakar mengingatkan kesemuanya pemainnya supaya bersabar dan tidak terlalu ghairah dalam mengharungi perlawanan Liga Super akan datang memandangkan perjuangan masih lagi di peringkat awal.

``Saya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua ketika menentang Pahang dan saya berharap perjuangan tidak akan terhenti di situ sahaja,'' katanya di sini, semalam.

Tambahnya, sikap kurang sabar dan terlalu ghairah boleh memakan diri kerana faktor tersebut boleh memusnahkan impian untuk mengejar kejuaraan liga.

Beliau menasihatkan kepada pemainnya supaya mengambil sikap berhati-hati dan bijak menganalisa perlawanan kerana setiap pasukan mempunyai gaya permainan berbeza.

Dalam aksi ketiga Liga Super di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu pasukan Harimau Kumbang menundukkan Pahang yang dianggotai sebahagian besar pemain kebangsaan dengan keputusan 3-2.

Gol-gol Pulau Pinang dijaringkan oleh dua pemain importnya iaitu Jose Marcio Barreto (minit 10), Viatcheslav Melnikov (minit 68) dan Ng Kok Heng (minit 44).

Sementara itu, Pahang yang dua kali mendahului pasukan tuan rumah menjaringkan gol menerusi Mohd. Fazli Shaari (minit 9) dan Indar Putra Mahyuddin (minit 19).

Norizan berkata, melalui tiga perlawanan awal ini, masih sukar buatnya untuk menilai prestasi pemain namun dari kesungguhan yang ditunjukkan oleh kesemua pemain ia amat positif.

Dari segi persefahaman antara pemain, beliau berkata, masih ada banyak ruang yang boleh diperbaiki malah dengan baki 18 perlawanan lagi kesemua pemainnya dapat memantapkan persembahan masing-masing.

Mengenai perlawanan menentang Perak di tempat lawan Sabtu ini, Norizan masih belum menentukan sama ada ingin menurunkan kesebelasan yang sama ketika menentang Pahang atau sebaliknya, kerana beliau akan menentukan pemainnya sehingga hari terakhir latihan nanti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4gOekUB3y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan