Ahad, 7 Mei 2017

Pulau Pinang makin serasi



ARKIB : 04/02/2005
 
PULAU PINANG - Setelah meraih dua kemenangan dalam saingan awal Liga Super pembimbing baru skuad Pulau Mutiara, Norizan Bakar dilihat semakin serasi dengan skuad Pulau Pinang. Malah lebih membanggakan, skuad Harimau Kumbang telah menghasilkan empat jaringan tanpa dibolosi gol.

``Syukur... dua perlawanan kami (Pulau Pinang) menang. Sebenarnya masih awal untuk memberi komen. Apa pun kemenangan itu satu permulaan yang baik bagi pasukan,'' ujar Norizan ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.

Pada perlawanan pembuka tirai 29 Disember lalu Pulau Pinang membelasah Sabah 3-0 dan Selasa lalu skuad Pulau Mutiara menewaskan Melaka Telekom 1-0.

Menerusi dua kemenangan itu, ia memberi keyakinan yang tinggi kepada pemain untuk berdepan kunjungan skuad elit Pahang di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

``Diharapkan kejayaan dua perlawanan lalu memberi semangat dan sikap positif di kalangan pemain untuk beraksi dengan lebih baik selepas ini,'' katanya.

Skuad Tok Gajah di bawah bimbingan Zainal Abidin Hassan yang masih belum kalah dalam dua perlawanan lalu sudah pasti mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai mangsa mereka yang ketiga.

``Pahang sebuah pasukan yang baik. Sudah tentu kedua-dua pasukan mahukan kemenangan. Namun apa yang penting pemain (Pulau Pinang) perlu mempamerkan aksi terbaik,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4gOWKmdDZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan