ARKIB : 25/02/2005
PULAU PINANG - Kunjungan skuad
Pulau Mutiara ke Stadium Petaling Jaya, Selangor esok tetap dianggap penting
meskipun berdepan MPPJ Selangor yang belum mencatat sebarang kemenangan dalam
saingan Liga Super musim ini.
Skuad bimbingan Norizan Bakar
menganggap pertemuan dengan pasukan terbawah liga itu sama hebat dan rancak
ketika beraksi dengan skuad lain dalam Liga Super atau Piala FA. Pulau Pinang
tekad dengan misi mencatat kemenangan, selepas rekod tanpa kalah mereka lebur
kepada Juara Piala Malaysia, Perlis di gelanggang sendiri minggu lalu.
Norizan dalam nada merendah
diri berkata; ``Kita hormati semua pasukan dalam Liga Super dan perlu
bersedia.''
Sebarang kemungkinan boleh
berlaku sekiranya skuad Harimau Kumbang memandang mudah pertemuan dengan bekas
Juara Piala Malaysia musim 2003 itu ketika di bawah bimbingan Dollah Salleh.
Percaturan di atas kertas
pertemuan dengan anak buah Redzuan Abdullah dilihat mudah bagi Pulau Pinang
kerana selain rekod empat kekalahan dan satu keputusan seri, rangkaian serangan
MPPJ kurang menyengat dengan sekadar lima jaringan daripada lima perlawanan.
``Dalam bola sepak kita tidak
boleh membuat perbandingan seperti itu (kedudukan dalam liga). Pasukan yang
dianggap kuat dan dilihat berpeluang untuk menang mencatat keputusan
sebaliknya,'' kata Norizan.
Sehubungan itu, beliau
mengingatkan pemain supaya memandang serius setiap pertemuan sama ada membabitkan
pasukan kuat atau lemah kerana semua pasukan dalam Liga Super mempunyai
kelebihan dan kekuatan masing-masing.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iACvEkWc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan