ARKIB : 31/01/2005
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU PINANG - Kemenangan Pulau
Pinang ke atas Sabah pada perlawanan pembuka tirai Liga Super 2005 di Stadium
Bandaraya kelmarin dianggap permulaan yang baik untuk skuad Pulau Mutiara
mengharungi saingan musim ini dengan lebih bergaya.
Kemenangan tiga jaringan tanpa
balas pasti melegakan pembimbing baru skuad Harimau Kumbang, Norizan Bakar yang
diharap membawa sentuhan cemerlang kepada Pulau Pinang.
``Ini baru permulaan. Kita
(Pulau Pinang) masih ada 21 lagi perlawanan dalam Liga Super. Kemenangan itu
bukan petunjuk sebenar kekuatan pasukan.
``Apa pun saya gembira dengan
kemenangan sulung ini dan persembahan baik yang ditunjuk-kan pemain,'' katanya
ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pulau Pinang membuka tirai
jaringan menerusi penyerang import dari Jepun, Ito Dan seawal minit ke-6,
disusuli gol kedua oleh Viatcheslav Melnikov sebelum Mohd. Faizal Eshar
menambah jaringan pada minit akhir perlawanan.
Kemenangan sulung tersebut
sekali gus mengubat kedukaan Pulau Pinang yang disekat Sabah untuk mara ke
perlawanan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
Sambil menyifatkan kemenangan
bermakna itu menceriakan penyokong Pulau Pinang Norizan atau lebih mesra dengan
panggilan Cikgu Jan tetap merendah diri bahawa barisan pemainnya perlu diperkemaskan
lagi.
``Anda (pemberita) boleh
melihat sendiri kelemahan dan kelebihan pemain. Tidak wajar bagi saya
menyebutnya tetapi ia akan diberi perhatian dan dibaiki bagi menghadapi
perlawanan berikutnya.
Menyentuh kombinasi dan
persefahaman pemain khususnya Ito Dan yang pertama kali beraksi dalam Liga
Malaysia bekas jurulatih Perlis itu berkata, wujud keserasian, namun setiap
pemain mempunyai peranan mereka sendiri.
``Mereka bermain dalam satu
pasukan, oleh itu semua bahagian memainkan peranan masing-masing,'' ujarnya.
Pulau Pinang akan bertandang ke
Stadium Hang Tuah Melaka bagi menentang Telekom Melaka, esok.
Sebaliknya, bagi kem Sabah,
jelas sekali Pengurus Pasukan, Johari Ayob menyifatkan perlawanan itu sebagai
berat sebelah yang didakwanya berpunca daripada kelemahan pengadilan.
Sambil menafikan beliau tidak
menerima kekalahan, corak pengadilan pada perlawanan itu dianggapkan
menjatuhkan mutu pengadilan bola sepak negara khususnya dalam saingan Liga
Super.
``Kami akan membuat bantahan
rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Sepatutnya kami (Sabah)
memperoleh satu atau dua sepakan penalti selepas penyerang dijatuhkan dalam
kotak penalti.
``Tetapi sebaliknya, pemain
kami yang menerima kad kuning, malah sebanyak empat kad (kuning) dilayangkan
sedangkan pemain lawan (Pulau Pinang) turut melakukan tindakan yang tidak wajar
kepada pemain kami,'' tegasnya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4gOGeiJjF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan