ARKIB : 28/11/1998
AZMAN Adnan (kiri) dan Ibrahim Saad menjawab soalan semasa sidang akhbar di Pulau Pinang semalam.
BEKAS penyerang sensasi Selangor, Azman Adnan pasti menyarung jersi Pulau Pinang secara sah tidak lama lagi selepas bersetuju beraksi bersama skuad Harimau Kumbang musim depan, lapor AZLI AHAD.
Menyertai Azman dalam kempen Pulau Pinang ialah Shahril Arshat dan Azlisham Ibrahim yang turut menandatangani surat persetujuan tersebut semalam.
Sekalipun belum menandatangani kontrak, ketiga-tiga pemain ini dijangka mampu memperkukuhkan lagi impian Harimau Kumbang untuk mengekalkan gelaran dua kali berturut-turut.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad mengesahkan pada dasarnya persetujuan telah dicapai dengan pemain terbabit dan kini Azman, Shahril dan Azlisham sekadar menunggu untuk menurunkan tandatangan dalam dokumen kontrak masing-masing.
''Azman Adnan sememangnya menjadi idaman pasukan ini dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil beliau memandangkan pasukan ini memerlukan penyerang berbisa setelah ketiadaan dua penyerang import iaitu , Merzagua Abderrazzaque dan Riyadh Abbas''.
''Walaupun banyak mendapat tawaran dari negeri lain, Azman yang akan tamat kontraknya bersama Selangor pada 31 Disember ini berjanji tidak akan mengulangi peristiwa hitam yang mana menimbulkan kontroversi antara pasukan Negeri Sembilan dan Selangor,'' katanya.
Beliau berkata demikian di majlis menandatangani surat persetujuan di pejabat FAP di Jalan Utama di Pulau Pinang, semalam.
Selain Azman yang akan ke England dalam program meningkatkan mutu permainan selama tiga minggu, Moey Yoke Ham juga akan berangkat ke Frankfurt, Jerman bagi menjalani kursus kejurulatihan di sana.
Dr. Ibrahim berkata, FAP berharap dengan adanya program ini ia akan dapat meningkatkan lagi kemahiran serta mutu permainan setiap pemain serta skuad tersebut pada musim hadapan.
''Kita tidak mahu tewas dengan kiraan gol seperti apa yang terjadi pada musim ini malahan sedang berusaha menebus kekecewaan tersebut pada musim hadapan,'' tambahnya lagi.
Beliau memberitahu, pasukan Pulau Pinang juga berminat untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain lagi dari Johor, Kelantan dan Perlis bagi memperkemaskan pasukan tersebut serta menggantikan tujuh pemain yang digugurkan dari skuad itu.
Mereka yang ditamatkan perkhidmatan ialah, Domi Che Non, Sabri Abdul Rani, Ahmad Sobri Ismail, Mohd. Fuad Mat Noor dan Abdul Gaffoor Hoosen.
Dr. Ibrahim Saad yang yakin dengan keupayaan skuad yang akan dibentuk nanti, pasukan Pulau Pinang tidak akan menghadapi masalah apabila timbul masalah kecederaan pada pemain senior nanti.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pb5tZNQF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan