Rabu, 30 November 2016

Cuma P. Pinang terus unggul -- Prestasi naik turun 9 pasukan

ARKIB : 12/04/1999
KETIKA juara bertahan, Pulau Pinang terus unggul di persada liga, sembilan pasukan lain menghadapi prestasi tidak konsisten yang menyaksikan kedudukan mereka dalam carta bola sepak Liga Perdana Satu saling berubah.

Sesudah enam perlawanan diharungi, hanya skuad Harimau Kumbang yang dibimbing jurulatih Moey Yoke Ham dan diterajui penyerang yang masih dianggap terbaik di negara ini, Azman Adnan mampu mengukuhkan kedudukan.

Skuad Pulau Mutiara itu unggul di depan dengan 14 mata hasil tiga kemenangan dan tiga seri selain dua mata bonus selepas penentuan sepakan penalti.

Begitupun, kedudukan Pulau Pinang belum selesa kerana mereka hanya mempunyai kelebihan dua mata di depan pencabar terdekat, Pahang diikuti Sarawak, Negeri Sembilan yang kurang semata di belakang Tok Gajah.

Namun, saingan pencabar Pulau Pinang tidak seperti yang diharapkan. Pahang, Sarawak, Negeri Sembilan mahupun skuad muda Kuala Lumpur dan Kedah sukar diramal prestasi masing-masing.

Tok Gajah, biarpun hanya kalah sekali daripada enam perlawanan, prestasi mereka jelas turun naik.

Meskipun tiga kemenangan berjaya diraih dan kini di tangga kedua di belakang Pulau Pinang, kekalahan besar 0-4 kepada Brunei masih menghantui skuad tanpa jurulatih itu.

Biarpun berjaya menundukkan pasukan mentah Kuala Lumpur 3-0 pada perlawanan terbaru mereka, Pahang masih memerlukan sentuhan lebih cemerlang untuk memastikan misi besar musim ini tercapai.

Sarawak harus merasa aib sesudah gagal memberi saingan ke atas skuad muda Kedah. Kekalahan 0-4 yang sekali gus meranapkan rekod tanpa kalah Bujang Senang seharusnya tidak berlaku ke atas pasukan Abdul Jalil Rambli berdasarkan reputasi mereka selaku juara liga 1997.

Tetapi pujian harus diberi kepada skuad Kenari didikan Azman Eusoff serta Kuala Lumpur bimbingan Mat Zan Mat Aris.

Pasukan warga kota mengalami nasib yang sama seperti Kedah apabila rekod tanpa kalah mereka dileburkan Pahang kelmarin, namun Kuala Lumpur bahkan Kedah sebenarnya harus dipandang sebagai satu ancaman besar oleh pasukan-pasukan lain.

Nasib malang menimpa skuad juara Piala Malaysia, Perak yang terperosok di tangga ketujuh liga _ juga mangsa prestasi tidak konsisten.

Sesudah membuat permulaan baik pada awal kempen, anak buah Karl Heinz Weigang mula hilang arah apabila tewas tiga kali berturut-turut, 0-3 di tangan Sarawak, 0-1 kepada Negeri Sembilan dan terbaru kecundang pula 2-3 di tangan pasukan yang juga mengalami prestasi tidak konsisten musim ini, Brunei di Ipoh.

Brunei bagaimanapun mungkin sedikit lewat mendapat tonik apabila mula bangkit sesudah tewas empat kali berturut-turut sejak awal kempen.

Kemenangan besar 4-0 ke atas Pahang dan 3-2 ke atas Perak boleh dianggap sebagai petanda baik bagi skuad David Booth itu bahawa mereka masih kekal dengan misi mengulangi pencapaian terbaik musim 1996/97.

Malang bagi skuad juara Perdana Dua dan naib juara Piala Malaysia 1998, Terengganu yang masih tercari-cari kemenangan sulung sesudah kempen berlangsung enam perlawanan.

Apa pun, skuad yang belum tewas seperti Pulau Pinang harus berwaspada kerana mereka juga pasti melalui tempoh tidak konsisten.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RTviMjOY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan