Sabtu, 26 November 2016

Bisa Azman kembali

ARKIB : 23/03/1999
AKSI awal Sabtu lalu mendedahkan segala-galanya, kekuatan atau kepincangan yang sudah disajikan menjadi rujukan penting kepada 10 pasukan dalam mengharungi bola sepak Liga Perdana Satu malam ini.

Pastinya, nama penyerang Pulau Pinang, Azman Adnan kembali mencetuskan kebimbangan kepada Brunei yang bertandang ke Stadium Bandaraya.

Keupayaannya menghasilkan dua jaringan daripada tiga peluang yang diperolehnya sewaktu Pulau Pinang seri 2-2 dalam masa permainan sebenar membayangkan betapa Azman masih 'berbisa' sebagaimana garang pasukan barunya, 'harimau kumbang.'

Kemantapan di kesemua posisi kerana diperkuatkan pemain daripada negeri lain seperti S. Ragesh (Kedah), Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri (Selangor), V. Thinagaran (Perlis), Wong Kah Loon serta Badrisan Kadir (Kelantan), Pulau Pinang mempunyai banyak kelebihan.

Bagaimanapun Pulau Pinang seharusnya berhati-hati kerana Brunei bukannya pasukan 10 tahun lalu yang sering menghuni kelompok terbawah.

Kekalahan 3-4 kepada Kuala Lumpur yang dibarisi ramai pemain ''muka'' baru memungkinkan Brunei untuk bangkit mencipta kemenangan sebagai penebus maruah, apatah lagi dengan kesempatan menurunkan pemain importnya.

Selain Pulau Pinang, pasukan Perdana Satu mempunyai sebab untuk memberi sepenuh tumpuan kepada johan Piala Malaysia 1998, Perak yang mempunyai semangat paling tinggi selepas meraih kejuaraan pertama musim ini, Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan sumbangsih.

Walaupun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, Stadium Darulmakmur, Perak sudah pasti mempergunakan setiap peluang dalam mencari kelemahan Pahang yang masih ''tersepit'' dengan kontroversi peletakan jawatan jurulatih Alan Davidson.

Sementara skuad yang sering ''di belakangkan'' iaitu Kuala Lumpur sudah pasti menggentarkan Sarawak selepas kejayaannya mengatasi Brunei.

Kemenangan Kuala Lumpur yang dibarisi ramai ''muka baru,'' jelas memberi amaran kepada Sarawak supaya tidak memandang mudah keupayaan skuad warga kota itu, apatah lagi beraksi di Lembah Klang.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan, perlu berwaspada untuk menghadapi Kedah yang dibarisi pemain baru selepas ramai tonggaknya berhijrah ke negeri lain.

Hanya kelebihan Negeri Sembilan bersandarkan kepada Zami Mohd. Noor yang menjaringkan dua gol dalam pertemuan dengan Pulau Pinang.

Pastinya, Zami diletakkan harapan tinggi untuk mencari seberapa banyak jaringan ke atas Kedah yang ketandusan penyerang berwibawa selepas ramai pemain handalannya berhijrah ke pasukan lain.

Sabah pula tidak terkecuali untuk 'bekerja keras' kerana lawannya Terengganu bukan sahaja pasukan terkuat di Pantai Timur, malah mempunyai reputasi selaku naib juara Piala Malaysia 1998.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RAyncu00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan