ARKIB : 24/03/1999
SKUAD Harimau Kumbang terus
garang mencipta kemenangan kedua apabila menewaskan Brunei 2-0 dalam perlawanan
bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Paling manis, kemenangan
tersebut dihasilkan dalam masa permainan sebenar di hadapan hampir 7,000
penonton di gelanggang sendiri.
Penyerang, Azman Adnan
memulakan tirai jaringan Pulau Pinang menerusi tendangan penalti pada minit
ke-47 sebelum Ooi Hoe Guan menambah gol minit ke-79.
Babak awal separuh masa pertama
sekadar menyaksikan kedua-dua pasukan gagal melakukan gerakan cantik tanpa
sebarang percubaan berbahaya.
Bagaimanapun kesilapan
pertahanan Pulau Pinang hampir mengundang padah apabila Brian Iman Abdullah
memperoleh satu kesempatan terbaik tetapi rembatannya terkena badan penjaga
gol, Azlisham Ibrahim pada minit ke-16.
Pulau Pinang cuba membalas
asakan tetapi kepincangan barisan tengah, memudahkan pertahanan lawan menyekat
kemaraan pasukan tuan rumah itu.
Dalam satu kekalutan dalam kubu
Brunei, Pulau Pinang mendapat peluang terbaik menerusi Ng Kok Heng namun
sepakannya dari jarak 20 meter terkeluar pada minit ke-33.
Sekali lagi, Pulau Pinang
kembali cemas apabila Brian melepasi benteng pertahanan tuan rumah.
Bagaimanapun tolakannya keluar sekalipun penjaga gol, Azlisham sudah tertewas
pada minit ke-41 untuk mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada babak
pertama.
Separuh masa kedua
menyemarakkan semangat Pulau Pinang, yang melakukan serangan bertali arus ke
kubu Brunei sehingga memaksa pemain pasukan pelawat membuat beberapa kesilapan.
Akhirnya, bola yang terkena
tangan salah seorang pemain pertahanan Brunei di depan pintu gol memaksa
pengadil, M. Saminathan menghadiahkan tendangan penalti kepada Pulau Pinang,
yang mudah disempurnakan Azman pada minit ke-47.
Jaringan tersebut menambah lagi
semangat Pulau Pinang untuk melakukan beberapa percubaan berbahaya ke kubu
Brunei.
Kesempatan terhidang buat Azman
yang hanya berdepan penjaga gol, Yunus Yusof tetapi sepakannya pula melepasi
palang pada minit ke-76.
Walaupun gagal, Azman bertindak
cemerlang memastikan hantarannya ditolak masuk pemain gantian Ooi Hoe Guan,
tiga minit kemudian.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RBRnEned
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan