ARKIB : 12/03/1999
MESKIPUN hanya berbekalkan satu
aksi di gelanggang luar pada perlawanan ujian, jurulatih Pulau Pinang Moey Yok
Ham yakin dengan persiapan pasukannya menghadapi perlawanan pembuka tirai Bola
Sepak Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi 20 Mac ini.
Malah Pulau Pinang sudah
bersedia menghadapi Negeri Sembilan selepas menempuh beberapa siri perlawanan
ujian termasuk Kejohanan Empat Penjuru di Stadium Bandar Raya baru-baru ini.
Berdasarkan keupayaan pemain
pada kejohanan tersebut, jurulatih itu yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya
mengharungi cabaran musim baru.
Pulau Pinang mengekalkan rekod
tanpa kalah menerusi kemenangan 4-0 ke atas Kelab Bola Sepak Haadyai,
mengalahkan Harimau Tapanuli (Medan) 3-2 dan seri 2-2 dengan Tanjung Pagar F.C
(pasukan Liga Singapura).
Kata Yok Ham, keserasian yang
ditunjukkan pemain menerusi perlawanan ujian dan Kejohanan Empat Penjuru itu
menggembirakannya kerana ia berjaya membentuk pasukan yang cukup matang bagi
menghadapi saingan di mana sahaja.
''Saya memang ingin mengadakan
banyak perlawanan ujian di gelanggang luar tetapi hanya sempat menentang Perlis
di Stadium Utama, Kangar, kerana kesuntukan masa,'' kata Yok Ham di Pulau
Pinang, semalam.
Bagaimanapun, kata beliau,
Pulau Pinang sudah melepasi beberapa siri perlawanan ujian di Stadium Bandar
Raya yang sudah cukup sebagai persiapan menempuh Perdana Satu musim ini.
''Bagi saya, saingan di luar
gelanggang sendiri bukan alasan untuk melemahkan sesebuah pasukan kerana aksi
sebenar pemain yang menjadi penentu,'' tambah beliau.
Ditanya tentang pemain, Yok Ham
memberitahu, cuma terdapat kecederaan kecil yang menimpa beberapa pemain tetapi
dijangka mereka dapat pulih sebelum bermula perlawanan liga dengan Negeri
Sembilan.
Pulau Pinang musim ini
diperkuatkan dengan beberapa pemain negeri lain seperti penyerang handalan,
Azman Adnan dari Selangor dalam usaha mengekalkan juara Liga Perdana Satu di
samping memburu kejuaraan baru iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.
Selain Azman, turut menyarung
jersi Pulau Pinang musim ini ialah S. Ragesh (Kedah), Azlisham Ibrahim, Asmawi
Bakiri dan Shahril Arsat (Selangor), Wong Kah Loon dan Badrisan Kadir
(Kelantan) serta V. Thinagaran (Perlis)
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QA33WwRN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan