Selasa, 21 Mac 2017

Amaran awal Harimau Kumbang



ARKIB : 18/02/2002
Oleh: SYAHIR KASSIM
PULAU Pinang tampak sudah memulakan rentak sebagai pasukan yang boleh digelar sebagai pasukan yang wajar digeruni melalui persembahan menarik dan mengagumkan dalam perlawanan menentang Selangor, kelmarin.

Walaupun masih awal untuk menilai keupayaan skuad bimbingan Irfan Bakti namun rentak dan lenggok yang dipamerkan oleh barisan pemain berpengalaman dan tenaga muda yang dibarisi tonggak tempatan nampak meyakinkan.

Bangkit dari kekalahan besar 0-5 di tangan Terengganu Sabtu lalu, rangkaian serangan tiada `segan' lagi di depan gol, susunan dan aturan gerak di tengah yang dipelbagaikan selain diperkukuhkan dengan benteng yang lebih mantap.

``Pemain bermain secara berpasukan dengan semangat kerjasama dapat menandingi Selangor, pemain memberi sumbangan yang baik dengan menjaringkan gol yang agak besar juga, 3-0.

``Apa yang saya nampak pemain yang tersentak dengan kekalahan besar kepada Terengganu minggu lalu, bangkit dengan semangat dan hasilnya kita mampu meraih tiga mata penuh, lebih-lebih lagi di depan penonton sendiri,'' kata Irfan.

Sekiranya para pemain skuad Harimau Kumbang mampu mengekalkan konsisten sepanjang musim selain dapat mengubah rentak dan lenggok apabila berhadapan dengan pasukan berbeza yang keupayaannya tidak mustahil khabar gembira boleh di bawa ke Pulau Mutiara.

``Saya yakin jika pemain dapat kekalkan prestasi yang ditunjukkan ketika menewaskan Selangor, Insya Allah sesuatu yang gembira dapat diberikan sebagai hadiah untuk semua peminat Pulau Pinang,'' ujarnya.

Pulau Pinang dilihat bijak menggunakan jentera di kanan melalui Ng Kok Heng dan Zailani Jaaafar untuk mengasak dan mengucar kacirkan terutama di kubu kiri Selangor yang memberi manfaat besar kepada skuad Harimau Kumbang.

``Saya nampak di situ kita ada ruang untuk masuk, jadi jangan dipersiakan kerana kelemahan yang wujud perlu dimanfaatkan untuk mencari gol,'' ujarnya.

Mengulas persembahan Anuar Abu Bakar dan Chow Chee Weng beliau berkata, ``Masih belum memuaskan hati saya tapi masih ada ruang untuk mereka tingkatkan prestasi, Zool Ihsan Yunus dah bagus''.

Menjelang perlawanan menentang Perak di Ipoh esok, Pulau Pinang wajar menggunakan rentak yang sama, tapi sekiranya ada perubahan ianya perlu bersesuaian dengan kekuatan dan kelemahan skuad Seladang itu.

Pulau Pinang yang begitu bersemangat kelmarin menewaskan Selangor 3-0 menerusi jaringan Moey Kok Hong, Hasmawi Hassan dan Zool Ihsan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bwQ9r8pM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan