Selasa, 21 Mac 2017

Pulau Pinang berpesta gol di Batu Kawan



ARKIB : 10/03/2002
JUARA bertahan, Pulau Pinang mencatat kemenangan terbesar dalam kempen bola sepak Liga Perdana Satu musim ini setelah membelasah Negeri Sembilan 7-1 dalam saingan di Stadium Batu Kawan, semalam.

Anuar Abu Bakar yang beraksi kali pertama sejak berehat panjang akibat cedera, menjaringkan hatrik pada minit ke-29, 64 dan 87 untuk membantu Harimau Kumbang mencatat kemenangan keempat.

Manakala Ng Kok Heng, Zool Ihsan Yunus, Nordin Khamis dan Ooi Hoe Guan masing-masing menjaringkan satu gol.

Gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh Azrine Efendy Sa'duddin pada minit ke-13.

Pendahulu liga, Perak tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras tetapi masih mengekalkan kedudukan tangga teratas liga biarpun pencabar terdekat, Selangor turut merakam kemenangan.

Gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Mohd. Farid Dewan (44) dan Zulkifli Affendi (64).

Di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, pasukan tuan rumah tewas 1-0 kepada Selangor.

Penyerang veteran, Azman Adnan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-59 untuk Selangor berkongsi 18 mata dengan Perak tetapi kekal di tangga kedua berdasarkan perbezaan jaringan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang menyekat kegarangan Sabah apabila membenam skuad Borneo itu 4-1.

Ahmad Shahruddin Rosdi menjaringkan dua gol pada minit kesembilan dan 19 manakala dua gol lagi disumbangkan Viatcheslav Melnikov (40) dan Jalaluddin Jaafar (67).

Sebelum itu, Sabah mengejutkan tuan rumah dengan jaringan pembukaan seawal minit kelima menerusi pemain importnya, Josiah Seton.

Di Stadium Utama, Kangar, Singa Utara kembali menemui sentuhan kemenangan dengan mengatasi juara Piala Malaysia, Terengganu 1-0.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mohd. Sofi Mohd. Isa minit ketujuh.

Di Stadium Sarawak, Kuching, perlawanan antara kedua-dua pasukan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Pertemuan antara dua kelab, NS Chempaka dan Johor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi turut berkesudahan seri 1-1.

Gol NS Chempaka dijaringkan oleh Joseph Gisele Signon minit ke-56 dan Rezal Zambri Yahya menyamakan kedudukan minit ke-82

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bxqfZU9U© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan