Sabtu, 18 Mac 2017

P. Pinang belum selamat

ARKIB : 09/07/2001
Oleh: AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU Pinang yang kini buat pertama kalinya menerajui Liga Perdana Satu tidak boleh mendabik dada atau tersenyum puas kerana saingan masih terbuka dan pelbagai rintangan perlu dihadapi sebelum boleh dimahkotakan sebagai juara liga.

Impian skuad Pulau Mutiara untuk mengecapi sekurang-kurangnya satu piala musim ini akan menjadi kenyataan sekiranya para pemain dapat mengekalkan tahap kualiti permainan yang tinggi selain tidak alpa di sepanjang 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun kejayaan setiap pasukan adalah ditentukan dengan kebijaksanaan barisan serangan membolosi gawang lawan, barulah kemenangan akan dapat dicapai.

Selain daripada itu para pemain seharusnya tidak merasa tertekan berada di puncak liga kerana sikap itu akan mengganggu konsentrasi dan membunuh semangat pemain sekali gus akan membantutkan usaha membawa pulang piala ke Pulau Mutiara.

``Saya selalu menasihatkan para pemain setiap kali turun ke padang bulatkan tekad dan azam untuk mencapai kemenangan, jangan terlalu memikirkan fasal piala, apabila menang dalam setiap perlawanan, barulah kejayaan dapat dicapai, kata Irfan ketika dihubungi petang ini.

Irfan yang enggan mengulas lanjut mengenai impian membawa pulang satu piala berkata: ``Saya tak mahu cerita fasal piala, kerana kedudukan Pulau Pinang masih belum selamat, mata kita dengan Terengganu sama iaitu 28, cuma dipisahkan dengan jaringan sahaja.

``Pasukan di bawah sentiasa mengintai peluang untuk memintas, jadi baki sebanyak sembilan perlawanan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin iaitu mencapai kemenangan, katanya.

Pulau Pinang yang mempamerkan aksi hambar 20 minit pertama perlawanan mengubah rentak dengan meratah Kuala Lumpur 5-0 dalam perlawanan di Stadium Batu Kawan, malam semalam.

Gol-gol skuad Pulau Mutiara dijaringkan oleh Mohd Fareed Shah Hassan, Moey Kok Hong, Mohd Aiman Wong, R Suresh Kumar dan S Sutesh.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bhNUmsSj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan