Isnin, 20 Mac 2017

Tenaga baru jadi tumpuan

ARKIB : 31/01/2002
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
KELIBAT tiga tenaga baru yang menyertai skuad Pulau Mutiara musim ini pasti akan menjadi tumpuan para penyokong fanatik Pulau Pinang yang akan menentang pasukan berstatus kelab Johor FC, Sabtu ini.

Mata puluhan ribu penyokong skuad Harimau Kumbang pasti akan tertumpu kepada penyerang berpengalaman, Anuar Abu Bakar, pemain licik, Chow Chee Weng dan perancang tengah, Zool Ihsan Yunus.

Aksi pertama mereka di gelanggang sendiri dalam perlawanan kedua Perdana Satu yang dikhabarkan hebat sepanjang latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini akan dinilai.

Penilaian antaranya akan menjurus ke arah keberkesanan penghijrahan trio itu sama ada membuahkan khabar gembira untuk memenuhi impian membawa pulang Piala Malaysia atau berputih mata tanpa sebarang trofi.

``Masih terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar mereka. Mereka pemain yang berpengalaman dan kini dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan rakan dalam pasukan bagi membentuk sebuah skuad yang mantap.

``Kejayaan meraih kemenangan bukan bergantung sepenuhnya kepada dua atau tiga pemain sahaja tetapi ia melibatkan satu pasukan,'' kata Pengurus Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zain Omar.

Penyokong Pulau Pinang yang dikenali dengan fanatiknya akan bertindak mengejek dan memaki pemain yang sering tempang di depan pintu gol, mempamerkan aksi hambar dan kerap kali melakukan kesilapan.

Mental yang lemah untuk berhadapan dengan serangan itu pasti akan menjejaskan prestasi dan mengganggu rentak permainan, tetapi persediaan yang cukup dari aspek minda, kutukan dan cemuhan itu dilihat sebagai pembakar semangat.

``Penonton patut memberi sokongan padu bukan mencemuh atau mengejek. Saya juga sering mengingatkan pemain supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada permainan, ikut arahan yang diberikan oleh jurulatih.

``Ketepikan cemuhan dan ejekan penyokong dan saya sering beritahu pemain jangan ulangi kesilapan yang dilakukan tetapi segera berubah dan kembali kepada perancangan yang dibuat oleh jurulatih,'' ujarnya.

Pulau Pinang yang menewaskan Sabah 2-1, Sabtu lalu di Stadium Penampang akan melayani Johor FC yang meraih kemenangan ke atas Perak 1-0 di Stadium Batu Kawan, Sabtu ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4br70OZ2I

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan