ARKIB : 26/03/2001
PULAU PINANG sudah menemui ramuan
paling mujarab untuk mencipta sejarah selaku juara pada saingan bola sepak
Piala FA 2001 selepas muncul pasukan pertama mara ke suku akhir kelmarin.
Skuad Harimau Kumbang bimbingan
Irfan Bakti yakin mampu menebus kegagalan musim lalu apabila mereka terlepas
peluang mendakap piala itu selepas tumpas kepada Terengganu pada perlawanan
akhir.
Bagi Irfan resipinya cukup mudah
iaitu jangan memberi belas kasihan kepada lawan pada sebarang perlawanan jika
mahu melakar sejarah kali ini.
Katanya, Pulau Pinang juga
mengambil pendekatan tersendiri dalam menempuh saingan piala FA dengan
menganggap setiap perlawanan yang dilalui itu sebagai `final' dan membelasah pasukan
lawan dengan jaringan besar.
``Bagi saya mudah, apabila anda
berada dalam tempoh perlawanan 90 minit, tiada unsur kasihan untuk melakukan
jaringan besar.
``Inilah yang saya tekankan
kepada setiap pemain. Saya minta maaflah kepada pasukan kelab yang menerima
kekalahan yang mengaibkan,'' katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.
Pasukan itu mara ke suku akhir
hasil agregat 9-1 ke atas Telekom Melaka selepas memenangi perlawanan kedua
pusingan kedua 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Anak buah Irfan kini dijangka
bertemu Perlis yang terkenal dengan gelaran Singa Utara pada suku akhir nanti
selepas lawannya itu menjadikan Selangor mangsa untuk kemenangan 3-0.
Kejayaan ini membolehkan Perlis
berada dalam keadaan selepas menjelang saingan kedua di Shah Alam, esok,
sekalipun gelanggang lawan itu dianggap keramat buat Selangor.
Begitupun Irfan tidak bercadang
memperkecilkan keupayaan Perlis mahupun Selangor, jika ditakdirkan bertemu
salah satu pasukan itu di suku akhir.
Mengulas skuad Harimau Kumbang
yang agak `lambat panas' dan lebih suka mengganas di babak kedua permainan,
Irfan pantas menafikannya: ``Saya sering memarahi pemain agar melakukan yang
terbaik di babak pertama.
``Mereka perlu memburu jaringan
cemerlang di babak kedua. Bagi saya, kedua-dua babak permainan adalah penting
jika mahu mencipta kemenangan.''
Irfan juga berkata, pemain Pulau
Pinang harus mengamalkan etika profesional, walaupun bertemu pasukan bertaraf
kelab.
``Etika ini penting supaya pemain
lebih matang, bukan sahaja dalam Piala FA tetapi pada saingan Liga Perdana,''
ujarnya.
Pulau Pinang akan berehat
daripada saingan Piala FA untuk memberikan tumpuan latihan persiapan menjelang
Liga Perdana menentang Selangor di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, 31 Mac ini.
Mereka akan menyambung aksi suku
akhir Piala FA menentang pemenang pusingan kedua, Perlis atau Selangor pada 5
Mei nanti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bYwz7P1Z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan