ARKIB : 19/08/2001
PEMAIN Pulau Pinang meraikan
gol kedua mereka yang dijaringkan oleh Ng Kok Heng (tiga dari kiri) ketika
menentang Negeri Sembilan di Stadium Batu Kawan, semalam. Pulau Pinang menang
3-1 sekali gus muncul juara Perdana Satu.- Gambar ISHAK RAHMAD.
PULAU PINANG dan Johor FC
mengesahkan kejuaraan bola sepak Liga Perdana Satu dan Dua selepas berjaya
mengatasi lawan masing-masing, semalam.
Skuad Harimau Kumbang mencatat
kemenangan selesa 3-1 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi di Stadium Batu Kawan
manakala Johor FC muncul juara selepas pencabar terdekatnya, Sabah sekadar seri
tanpa jaringan dengan JKR Kedah di Alor Setar.
Biarpun kempen Liga Perdana
Satu hanya berbaki satu perlawanan, kemenangan Pulau Pinang semalam sudah cukup
untuk mereka meraih habuan wang tunai RM150,000 selaku juara selain RM40,000
sebagai juara pusingan kedua.
Manakala Terengganu yang menang
2-1 di Melaka, meraih RM100,000 di tempat kedua.
Habuan tempat ketiga masih
menjadi rebutan antara Kelantan dan Selangor selepas kedua-dua pasukan turut
mencatat kemenangan.
Kelantan menang 1-0 ke atas
Pahang di Kuantan manakala Selangor mengatasi Perlis 2-0 di Kangar. Tempat
ketiga menyediakan hadiah wang tunai RM75,000.
Johor FC selaku juara Perdana
Dua menerima RM100,000 manakala Sabah di tempat kedua menerima RM75,000 dan NS
Chempaka RM50,000.
Johor FC dan NS Chempaka
mencipta sejarah apabila bakal beraksi buat pertama kali Perdana Satu musim
depan.
Dua pasukan itu bersama Sabah
juga layak secara automatik ke Piala Malaysia musim ini.
Lima lagi pasukan dari Perdana
Dua akan bertarung dalam playoff bersama tiga pasukan terbawah Perdana Satu
untuk mengisi empat lagi tempat ke Piala Malaysia.
Gol Pulau Pinang dijaringkan Ng
Kok Heng pada minit ketiga dan 25 serta jaringan penalti Hasmawi Hassan minit
ke-86 mengecewakan si Rusa yang mampu merapatkan jurang menerusi jaringan
Afendi Malek minit ke-19.
Negeri Sembilan biarpun tewas
tetapi layak secara automatik ke Piala Malaysia selepas pasukan tangga bawah
turut gagal meraih mata.
Juara bertahan Piala Malaysia,
Perak turut layak apabila berkenduri gol 4-0 ke atas Johor di Stadium Larkin.
Gol-gol Perak dijaringkan oleh
Norizam Ali Hassan (38, 45), V. Saravanan (43) dan Azrul Amri Burhan (71).
Di Stadium Kubu, Terengganu
mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka untuk memaksa skuad Kancil menunggu perlawanan
terakhir Selasa ini untuk menentukan nasib sama ada layak ke Piala Malaysia
secara automatik.
Wan Rohaimi Ismail menjaringan
dua gol minit ke-12 dan 16 dan Aizal Lamin merapatkan jurang minit ke-31.
Di Stadium Utama, Kangar,
pasukan tuan rumah tumpas 2-0 kepada Selangor.
Kedua-dua pasukan yang sudah
melayakkan diri ke Piala Malaysia terpisah menerusi jaringan Yusri Che Lah
minit ke-44 dan Mohd. Amri Yahyah minit ke-69.
Di Stadium Sarawak, Kuala
Lumpur dan pasukan tuan rumah terpaksa menunggu aksi terakhir Selasa ini untuk
menentukan tempat ke Piala Malaysia apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa
jaringan.
Sarawak kini di tangga
kesembilan dengan 24 mata manakala Kuala Lumpur tempat ke-11 dengan 22 mata.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, Pahang tewas 1-0 kepada Kelantan menerusi jaringan Faturozi Razi minit
ke-53.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bjMWTD72
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan