Jumaat, 24 Mac 2017

Pulau Pinang tiada tandingan bagi Labuan



 ARKIB : 06/09/2002
PULAU PINANG mempersembahkan aksi bertenaga dengan membelasah Labuan 5-0 dalam acara bola sepak Sukma IX di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu semalam.

Mohd. Saufi Mohd. Ibrahim dan Zulhissyam Jamaluddin masing-masing menjaringkan dua gol sementara satu lagi gol dijaringkan oleh Samuel Raj David pada minit ke-32.

Pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan B itu pantas mendapat rentak apabila Mohd. Saufi menolak masuk untuk gol pertama pada minit ke-19 sebelum menggandakan jaringan sembilan minit kemudian.

Gol ketiga Pulau Pinang muncul pada minit-32 menerusi Samuel yang mudah menolak bola masuk dalam satu percubaan. Labuan yang tunduk 1-0 kepada Sabah Sabtu lepas kelihatan tidak bermaya untuk bertahan pada babak kedua dan melepaskan dua lagi gol, kali ini dibolosi oleh Zulhissyam pada minit ke-62 dan 73.

Dalam Kumpulan B, Johor seri buat kali kedua berturut-turut dengan mengikat tuan rumah, yang bermain dengan 10 orang, dengan keputusan 1-1 di Stadium Penampang.

Skuad Jengking mendahului pada minit ke-26 tetapi gagal menggunakan kesempatan untuk menambah gol setelah Sabah kehilangan Lee Shen Fui pada minit ke-42 kerana dilayangkan kad merah.

Sebaliknya Sabah bangkit untuk menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-63 menerusi Mohammed Shaiffie pada perlawanan yang turut diwarnai oleh kad kuning itu. Tiga pemain Johor dan tiga pemain Sabah turut menerima kad kuning pada perlawanan itu.

Sementara itu, langkah juara bertahan, Pahang terus sumbang apabila tewas 2-1 kepada Kedah di UMS.

Ahmad Sawai Din menjadi wira Kedah apabila menjaringkan kedua-dua gol pasukannya pada minit kesembilan dan 71 sementara Pahang membalas melalui Mohamad Hasyidan Abdullah pada minit ke-52.

Kekalahan itu menyaksikan Pahang terperosok di tangga tercorot Kumpulan A dengan hanya satu mata setelah seri 0-0 dengan Melaka Sabtu lepas sementara Kedah di tangga teratas dengan tiga mata daripada satu perlawanan diikuti Melaka dengan satu mata, tetapi memiliki kelebihan perbezaan jumlah gol ke atas Pahang.

Hari ini, pasukan pilihan, Negeri Sembilan akan turun ke padang untuk memulihkan maruah apabila menentang Brunei di Penampang.

Negeri Sembilan yang menyandang gelaran juara Piala Presiden tahun lepas kalah kepada Perak dalam perlawanan pertamanya Ahad lepas.

Tiga lagi perlawanan bakal menyaksikan Selangor bertemu Kuala Lumpur, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) berdepan dengan Sarawak manakala Perak akan menentang Perlis

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cIDnGhFA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan