Jumaat, 31 Mac 2017

P. Pinang menang bergaya



ARKIB : 25/05/2003
PULAU Pinang yang bermain dengan 10 orang mencatat kemenangan manis menumpaskan Perak 3-1 dalam Kumpulan C bawah 18 tahun kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Padang Anderson, Ipoh semalam.

Pasukan Pulau Mutiara mendahului Perak melalui rembatan kencang Mohd. Amirul Omar pada minit ke-13 dan seminit kemudian rakannya, Mohd. Azrul Ahmad menambah satu gol lagi.

Pulau Pinang yang sedang mendahului pasukan tuan rumah 2-0 terkejut apabila penjaga gol utamanya, Mohd. Faizal Mohd. Yusof dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Sabah, Sani Tari pada minit ke-33 setelah memegang bola di luar kotak penalti.

Sehubungan itu, Pulau Pinang terpaksa menurunkan penjaga gol kedua, Muhd. Azmi Shaik Mohamad dan penjaga gol itu berjaya mempertahankan pintu golnya daripada serangan Perak.

Kedudukan Pulau Pinang semakin kukuh apabila S. Thinagaran menambah gol ketiga pada minit ke-45 membolehkan pasukannya layak ke suku akhir yang akan berlangsung Selasa ini.

Gol tunggal Perak diperoleh hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Shahrizal Mohd. Saad pada minit ke-34 dan kekalahan ini menyukarkan lagi laluan pasukan tuan rumah ke suku akhir.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cwx68j6Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan