ARKIB : 18/02/2002
Oleh: SYAHIR KASSIM
PULAU Pinang tampak sudah
memulakan rentak sebagai pasukan yang boleh digelar sebagai pasukan yang wajar
digeruni melalui persembahan menarik dan mengagumkan dalam perlawanan menentang
Selangor, kelmarin.
Walaupun masih awal untuk menilai
keupayaan skuad bimbingan Irfan Bakti namun rentak dan lenggok yang dipamerkan
oleh barisan pemain berpengalaman dan tenaga muda yang dibarisi tonggak
tempatan nampak meyakinkan.
Bangkit dari kekalahan besar 0-5
di tangan Terengganu Sabtu lalu, rangkaian serangan tiada `segan' lagi di depan
gol, susunan dan aturan gerak di tengah yang dipelbagaikan selain diperkukuhkan
dengan benteng yang lebih mantap.
``Pemain bermain secara
berpasukan dengan semangat kerjasama dapat menandingi Selangor, pemain memberi
sumbangan yang baik dengan menjaringkan gol yang agak besar juga, 3-0.
``Apa yang saya nampak pemain
yang tersentak dengan kekalahan besar kepada Terengganu minggu lalu, bangkit
dengan semangat dan hasilnya kita mampu meraih tiga mata penuh, lebih-lebih
lagi di depan penonton sendiri,'' kata Irfan.
Sekiranya para pemain skuad
Harimau Kumbang mampu mengekalkan konsisten sepanjang musim selain dapat
mengubah rentak dan lenggok apabila berhadapan dengan pasukan berbeza yang
keupayaannya tidak mustahil khabar gembira boleh di bawa ke Pulau Mutiara.
``Saya yakin jika pemain dapat
kekalkan prestasi yang ditunjukkan ketika menewaskan Selangor, Insya Allah
sesuatu yang gembira dapat diberikan sebagai hadiah untuk semua peminat Pulau
Pinang,'' ujarnya.
Pulau Pinang dilihat bijak
menggunakan jentera di kanan melalui Ng Kok Heng dan Zailani Jaaafar untuk
mengasak dan mengucar kacirkan terutama di kubu kiri Selangor yang memberi
manfaat besar kepada skuad Harimau Kumbang.
``Saya nampak di situ kita ada
ruang untuk masuk, jadi jangan dipersiakan kerana kelemahan yang wujud perlu
dimanfaatkan untuk mencari gol,'' ujarnya.
Mengulas persembahan Anuar Abu
Bakar dan Chow Chee Weng beliau berkata, ``Masih belum memuaskan hati saya tapi
masih ada ruang untuk mereka tingkatkan prestasi, Zool Ihsan Yunus dah bagus''.
Menjelang perlawanan menentang
Perak di Ipoh esok, Pulau Pinang wajar menggunakan rentak yang sama, tapi
sekiranya ada perubahan ianya perlu bersesuaian dengan kekuatan dan kelemahan
skuad Seladang itu.
Pulau Pinang yang begitu
bersemangat kelmarin menewaskan Selangor 3-0 menerusi jaringan Moey Kok Hong,
Hasmawi Hassan dan Zool Ihsan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bwQ9r8pM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan