ARKIB : 01/08/2001
PEMAIN Kelantan, Md. Hardi
Ahmad (tengah) diasak oleh dua pemain Kuala Lumpur, Azlan Hussain (kanan) dan
Imran Ahmad pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium KLFA,
Cheras, semalam yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
PULAU PINANG menunjukkan aksi
sebenar sebagai kuasa terkuat bola sepak Liga Perdana Satu, apabila membelasah
pasukan tangga terbawah, Johor 5-0 dalam aksi di Stadium Batu Kawan, semalam.
Kemenangan itu sekali gus
mengukuhkan skuad Harimau Kumbang di persada liga dengan 38 mata menjarakkan
kedudukan dengan Terengganu dengan lima mata selepas pasukan Penyu seri 2-2
dengan Perlis di Kangar.
Gol pertama Pulau Pinang
dijaringkan oleh Hasmawi Hassan minit kedua manakala gol kedua dan ketiga oleh
Moey Kok Hong (15 dan 38). Ooi Hoe Guan menambah gol keempat minit ke-80 dan D.
Samuel Raj menutup malam gemilang Harimau Kumbang dengan jaringan kelima minit
ke-85.
Terengganu mendahului 2-0
menerusi jaringan Sapian Wahid (27) dan Rosdi Talib (57) tetapi Singa Utara
menyamakan kedudukan dengan jaringan Khairil Zamri Rashid (80) dan Rozmin Musa
minit ke-90.
Pasukan tangga ketiga, Kelantan
mengekalkan kedudukannya apabila seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur di
Stadium KLFA, Cheras.
Perak yang bermain tanpa
jurulatih, mengecewakan pasukan tuan rumah, Sarawak 2-0 di Stadium Sarawak.
Khalid Jamlus menyentak skuad
Bujang Senang dengan gol pembukaan minit ke-60 sebelum ketua pasukan, Ahmad
Shahrul Azhar menambah gol kedua, seminit sebelum tamat permainan.
Juara bertahan, Selangor sekali
lagi kecewa di Stadium Shah Alam apabila tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.
Dua pemain bawah 23 kebangsaan,
K. Rajan dan Mohd. Shukor Adan menjaringkan gol untuk Negeri Sembilan minit
ketujuh dan 40 manakala gol tuan rumah dijaringkan Rusdi Suparman minit ke-51
menerusi sepakan penalti.
Melaka memperoleh semula
penawar apabila mencipta kemenangan 2-1 ke atas Pahang di Stadium Kubu.
Selepas dikecewakan Pulau
Pinang 3-0, Melaka mengutip tiga mata menerusi jaringan penalti S. Arumugam
minit ke-16 dan K. Rajan minit ke-25 manakala gol tunggal Pahang oleh Azmani
Abdul Kadir minit ke-75.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhryKQ2l
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan