Jumaat, 24 Mac 2017

P. Pinang terlalu harapkan kejuaraan



ARKIB : 17/08/2002
PULAU Pinang mempunyai senjata sulit untuk mencalar imej Perak yang dilabel sebagai jaguh dalam perlawanan akhirPiala FA di Stadium Nasional Bakit Jalil malam ini lapor AHMAD SYAHIR KASSIM.

Skuad Seladang yang kini berada dalam kelas tersendiri pasti kecewa dan terjerat diri dengan skuad Harimau Kumbang yang berada pada tahap terbaik untuk membenam jiran tetangga itu.

Strategi yang dirancang diterjemahkan dalam perlawanan yang akan berlangsung dalam tempoh kurang 24 jam, selain itu para pemain juga kini diselimuti dengan semangat yang memuncak untuk membawa pulang piala berprestij itu ke Pulau Mutiara.

``Fikiran dan tumpuan pemain kini 100 peratus kepada perlawanan akhir esok (malam ini) dan mereka sentiasa fokus kepada apa yang telah dirancang dalam latihan.

``Saya tidak gusar tentang tumpuan pemain kerana tiga dan empat perlawanan lalu banyak mengajar mereka, pantas bangkit selepas ketinggalan dan kita meraih kejayaan,'' kata jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti.

Kemampuan menyerap tekanan juga memberi kelebihan kepada skuad Harimau Kumbang itu, cemuhan dan ejekan penyokong sendiri tidak dipedulikan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Walaupun ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama ketika menentang Kedah pada separuh akhir lalu, mereka mampu bangkit menyamakan kedudukan dan menang pada permainan sudden death.

``Penyokong dan pemberita sendiri terkejut babak kedua kita mampu bangkit walaupun pada awalnya mereka mengandaikan Pulau Pinang akan kecundang.

``Ketenangan dan keupayaan serap tekanan aset penting yang dimiliki pemain yang boleh membawa mereka meraih kejayaan,'' kata Irfan lagi.

Selain faktor dalaman dan psikologi pemain, kebijaksanaanjurulatih merencana strategi juga menjadi penentu kejayaan.

Perak yang terkenal dengan corak permainan ala samba dan kadang kala menggunakan pendekatan ala Inggeris tidak menggusarkan Pulau Pinang.

Selain itu kreativiti jurulatih skuad Seladang, Toni Netto yang berjaya mengasah bakat Indra Putra Mahyuddin dari pemain tengah kepada penyerang berbahaya membuatkan benteng skuad Harimau Kumbang tidak sabar-sabar berhadapan dengan pemain muda itu.

``Saya tahu corak permainan Perak dan kita juga ada strategi sendiri tidak kiralah ala apa pun yang penting ia bakal memerangkap Perak.

``Barisan pertahanan kita, Chee Wan Hoe, Zailani Jaafardan Abdul Aziz Ismail serta kehadiran semula Moey Kok Hong menceriakan kem Pulau Pinang dan mereka tidak sabar untuk berdepan dengan tiga rangkaian serangan Perak itu,'' katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cFuGo5kC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan