ARKIB : 08/05/2001
PULAU PINANG yang menerima aib
selepas tewas 0-1 dengan pendahulu Liga Perdana Satu, Terengganu di gelanggang
sendiri Selasa lalu berjanji untuk memberi persembahan menarik sekali gus
mencatat kemenangan untuk membawa pulang tiga mata apabila bertandang ke Ipoh
menentang Perak malam ini, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM.
Episod ngeri selepas rekod
tanpa kalah dimusnahkan oleh Penyu tidak melemahkan semangat para pemain
Harimau Kumbang untuk membaham Seladang sekali gus mengembalikan kepercayaan
peminat mengenai semangat juang tinggi yang dimiliki oleh anak buah Irfan
Bakti.
Walaupun memenangi lima
daripada lapan perlawanan ketumpulan barisan serangan yang longlai di depan gol
dalam perlawanan menentang anak buah Mat Zan Mat Aris pasti dapat diatasi
dengan keazaman tinggi rangkaian penyerang yang diketuai Hasmawi Hassan dan
kelincahan ayam tambatan Mohd Noor Derus untuk menggegar gawang anak didik Karl
Heinz Weigang.
Menurut Irfan, para pemainnya
telah melupakan episod kecewa ketika tewas kepada Terengganu minggu lalu dan
berazam untuk menebus kehampaan itu dengan membenam Perak malam ini.
Katanya, para pemain telah
diberi motivasi sepanjang seminggu ini selain latihan teknikal dan pendekatan
untuk menajamkan barisan serangan bagi merobek gawang lawan.
Pulau Pinang yang tidak
menurunkan Mohd Aiman Wong dan Aziz Ismail kerana menerima dua kad kuning dan
terpaksa menjalani hukuman gantung satu perlawanan selain kecederaan Mohd.
Fareed Shah Hassan dan R Suresh Kumar tidak gusar dengan keadaan itu kerana
kekosongan mereka akan diisi oleh pemain lain yang mampu memikul tugas itu.
Menurut Irfan, beliau tidak
bimbang dengan situasi itu kerana para pemain lain seperti Samuel Raj mampu
menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain yang cedera dan yang
menjalani hukuman pergantungan satu perlawanan.
Mengulas mengenai Pulau Pinang
yang dijadikan sebagai pusat rasuah di kalangan bookie baru-baru ini, beliau
berkata, penglibatan bookie tersebut tiada kaitan dengan para pemain negeri ini
dan mereka juga selalu diingatkan supaya tidak menerima sebarang tawaran
daripada pihak yang tidak dikenali.
``Cubaan menjual perlawanan
melibatkan pemain Pahang dan tempat insiden itu pula di Pulau Pinang, para
pemain negeri ini tidak terlibat dengan perkara itu dan mereka juga tidak
didekati oleh orang yang cuba memberi tawaran dalam apa bentuk sekali pun,''
katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bavvbsHc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan