ARKIB : 31/01/2002
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
KELIBAT tiga tenaga baru yang
menyertai skuad Pulau Mutiara musim ini pasti akan menjadi tumpuan para
penyokong fanatik Pulau Pinang yang akan menentang pasukan berstatus kelab
Johor FC, Sabtu ini.
Mata puluhan ribu penyokong
skuad Harimau Kumbang pasti akan tertumpu kepada penyerang berpengalaman, Anuar
Abu Bakar, pemain licik, Chow Chee Weng dan perancang tengah, Zool Ihsan Yunus.
Aksi pertama mereka di
gelanggang sendiri dalam perlawanan kedua Perdana Satu yang dikhabarkan hebat
sepanjang latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini akan dinilai.
Penilaian antaranya akan
menjurus ke arah keberkesanan penghijrahan trio itu sama ada membuahkan khabar
gembira untuk memenuhi impian membawa pulang Piala Malaysia atau berputih mata
tanpa sebarang trofi.
``Masih terlalu awal untuk
menilai prestasi sebenar mereka. Mereka pemain yang berpengalaman dan kini
dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan rakan dalam pasukan bagi membentuk
sebuah skuad yang mantap.
``Kejayaan meraih kemenangan
bukan bergantung sepenuhnya kepada dua atau tiga pemain sahaja tetapi ia
melibatkan satu pasukan,'' kata Pengurus Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zain Omar.
Penyokong Pulau Pinang yang
dikenali dengan fanatiknya akan bertindak mengejek dan memaki pemain yang
sering tempang di depan pintu gol, mempamerkan aksi hambar dan kerap kali
melakukan kesilapan.
Mental yang lemah untuk
berhadapan dengan serangan itu pasti akan menjejaskan prestasi dan mengganggu
rentak permainan, tetapi persediaan yang cukup dari aspek minda, kutukan dan cemuhan
itu dilihat sebagai pembakar semangat.
``Penonton patut memberi
sokongan padu bukan mencemuh atau mengejek. Saya juga sering mengingatkan
pemain supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada permainan, ikut arahan yang
diberikan oleh jurulatih.
``Ketepikan cemuhan dan ejekan
penyokong dan saya sering beritahu pemain jangan ulangi kesilapan yang
dilakukan tetapi segera berubah dan kembali kepada perancangan yang dibuat oleh
jurulatih,'' ujarnya.
Pulau Pinang yang menewaskan
Sabah 2-1, Sabtu lalu di Stadium Penampang akan melayani Johor FC yang meraih
kemenangan ke atas Perak 1-0 di Stadium Batu Kawan, Sabtu ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4br70OZ2I
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan