ARKIB : 06/09/2002
PULAU PINANG mempersembahkan aksi
bertenaga dengan membelasah Labuan 5-0 dalam acara bola sepak Sukma IX di
Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu semalam.
Mohd. Saufi Mohd. Ibrahim dan
Zulhissyam Jamaluddin masing-masing menjaringkan dua gol sementara satu lagi
gol dijaringkan oleh Samuel Raj David pada minit ke-32.
Pasukan pilihan untuk menjuarai
Kumpulan B itu pantas mendapat rentak apabila Mohd. Saufi menolak masuk untuk
gol pertama pada minit ke-19 sebelum menggandakan jaringan sembilan minit
kemudian.
Gol ketiga Pulau Pinang muncul
pada minit-32 menerusi Samuel yang mudah menolak bola masuk dalam satu
percubaan. Labuan yang tunduk 1-0 kepada Sabah Sabtu lepas kelihatan tidak
bermaya untuk bertahan pada babak kedua dan melepaskan dua lagi gol, kali ini
dibolosi oleh Zulhissyam pada minit ke-62 dan 73.
Dalam Kumpulan B, Johor seri buat
kali kedua berturut-turut dengan mengikat tuan rumah, yang bermain dengan 10
orang, dengan keputusan 1-1 di Stadium Penampang.
Skuad Jengking mendahului pada
minit ke-26 tetapi gagal menggunakan kesempatan untuk menambah gol setelah
Sabah kehilangan Lee Shen Fui pada minit ke-42 kerana dilayangkan kad merah.
Sebaliknya Sabah bangkit untuk
menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-63 menerusi Mohammed Shaiffie pada
perlawanan yang turut diwarnai oleh kad kuning itu. Tiga pemain Johor dan tiga
pemain Sabah turut menerima kad kuning pada perlawanan itu.
Sementara itu, langkah juara
bertahan, Pahang terus sumbang apabila tewas 2-1 kepada Kedah di UMS.
Ahmad Sawai Din menjadi wira
Kedah apabila menjaringkan kedua-dua gol pasukannya pada minit kesembilan dan
71 sementara Pahang membalas melalui Mohamad Hasyidan Abdullah pada minit
ke-52.
Kekalahan itu menyaksikan Pahang
terperosok di tangga tercorot Kumpulan A dengan hanya satu mata setelah seri
0-0 dengan Melaka Sabtu lepas sementara Kedah di tangga teratas dengan tiga
mata daripada satu perlawanan diikuti Melaka dengan satu mata, tetapi memiliki
kelebihan perbezaan jumlah gol ke atas Pahang.
Hari ini, pasukan pilihan, Negeri
Sembilan akan turun ke padang untuk memulihkan maruah apabila menentang Brunei
di Penampang.
Negeri Sembilan yang menyandang
gelaran juara Piala Presiden tahun lepas kalah kepada Perak dalam perlawanan
pertamanya Ahad lepas.
Tiga lagi perlawanan bakal
menyaksikan Selangor bertemu Kuala Lumpur, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah
Malaysia (MSSM) berdepan dengan Sarawak manakala Perak akan menentang Perlis
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cIDnGhFA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan