ARKIB : 11/02/2003
SUKA DAN DUKA... Dua suasana
berbeza dalam aksi Sumbangsih di Stadium Batu Kawan menyaksikan kegembiraan
Pulau Pinang menjaringkan gol kemenangan (gambar kanan) hanya sementara sahaja
kerana selepas itu mereka kehilangan penyerang utamanya, Gustavo Alberto Romero
yang terpaksa diusung keluar kerana cedera (gambar kiri) sekaligus khidmatnya
terpaksa dilupakan lebih sebulan. - Gambar Saharuddin Abdullah.
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
KEGEMBIRAAN Pulau Pinang
merangkul Piala Sumbangsih kelmarin diwarnai dengan kesedihan apabila penyerang
import, Gustavo Alberto Romero terpaksa melupakan saingan Liga Perdana Satu
untuk tempoh lebih sebulan akibat kecederaan.
Pemain berusia 24 tahun dari
Argentina itu cedera di pipi kanan dan dipercayai mengalami keretakan di
bahagian rahang selepas dia berlaga dengan penjaga gol Selangor, Azmin Azram
Abdul Aziz dalam usahanya memburu gol.
Kehilangan tonggak serangan itu
juga pasti membingungkan dan membantutkan rancangan jurulatih skuad Pulau
Mutiara, Irfan Bakti untuk mengharungi saingan sengit liga perdana musim ini.
``Kita sedih dengan insiden
yang menimpa Romero. Di saat kita meraikan kemenangan, dia dikejarkan ke
hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
``Namun di sebalik kehilangan
pemain itu untuk tempoh kira-kira enam minggu, terdapat sedikit kepincangan
tetapi ia tidak menjadi masalah besar kepada kita,'' kata Irfan.
Beliau menambah, Pulau Pinang
masih memiliki dua lagi penyerang - Hasmawi Hassan dan Wan Rohaimi Wan Ismail
yang mampu menggalas tanggungjawab di barisan depan.
``Para pemain perlu
bersungguh-sungguh untuk bersaing mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh
Romero,'' katanya.
Romero hanya beraksi selama 28
minit sebelum diusung keluar akibat kecederaan setelah dirempuh keras Azmin
Azram yang juga ketua pasukan Selangor.
Gol kemenangan Pulau Pinang
pada perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah itu dijaringkan oleh
pemain pertahanan, Geoff Dwyer pada minit ke-12.
Menyentuh keseluruhan
persembahan Pulau Pinang dalam perlawanan itu Irfan berkata: ``Secara
keseluruhan saya berpuas hati. Namun masih banyak ruang dan kelemahan perlu
diatasi segera.''
Menurut beliau, keadaan padang
yang licin juga menjejaskan rentak permainan sekali gus menyukarkan mereka
untuk mempamerkan aksi terbaik.
Begitupun beliau tetap meminta
pemain khususnya rangkaian penyerang menggandakan usaha menjaringkan gol di
samping barisan pertahanan mengukuhkan lagi benteng mereka.
``Barisan penyerang perlu lebih
banyak mengancam ke kubu lawan dengan percubaan-percubaan tepat dan berbahaya
sementara barisan tengah pula perlu bijak mencari serta membuka ruang kepada
rakan di barisan depan,'' katanya.
Pulau Pinang akan bertandang ke
Stadium Hang Tuah menentang Melaka Sabtu ini sebelum kembali ke Stadium Batu
Kawan pada 22 Februari depan menanti kunjungan Kedah.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cbxXbZ00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan