Sabtu, 18 Mac 2017

Pulau Pinang belasah Perak 3-0

ARKIB : 08/08/2001
PULAU PINANG terus menjarakkan diri di tangga teratas liga selepas membelasah Perak 3-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang semalam.

Kemenangan itu memastikan pasukan Pulau Mutiara itu mengumpul 41, tujuh mata di depan pencabar terdekat, Terengganu yang sekadar seri 0-0 dengan Pahang di Kuantan.

Pulau Pinang yang mendapat sokongan padu di gelanggang sendiri ceria apabila Zailani Jaafar membuka tirai jaringan seawal minit kelapan permainan.

Perak terus dihampakan pada minit ke-25 apabila Hasmawi Hassan menyumbat masuk gol kedua Pulau Pinang, sebelum jaringan Ng Kok Heng pada minit ke-31.

Di Stadium Darul Makmur, tuan rumah Pahang menyekat hajat kemenangan Terengganu apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan untuk berkongsi satu mata.

Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur turut berkongsi satu mata dengan Selangor yang mendahului permainan menerusi jaringan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-25.

Begitu pun, pasukan tuan rumah bangkit dengan gol penyamaan oleh Liew Kin Tu pada minit ke-49 untuk kedudukan muktamad 1-1.

Di Stadium Utama, Kangar, tuan rumah Perlis meraikan kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan selepas jaringan awal oleh Mohd Feriza Ismail pada minit kedua permainan.

Badrul Afzan Razali menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-19, diikuti gol ketiga dan keempat oleh Hairil Zamri Abd Rashid (31) dan Rozmin Musa (32).

Di Stadium Larkin, Johor gagal menyekat Melaka yang mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan 3-1.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Sarawak, tuan rumah mengalami kekalahan mengaibkan 4-0 kepada Negeri Sembilan yang membuka jaringan menerusi Effendi Abd Malek pada minit ke-24.

Gol-gol lain Negeri Sembilan oleh Zami Mohd Noor (63), Chow Chee Weng (65) dan Wong Sai Kong (80).



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bi2EbyHR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan