Sabtu, 18 Mac 2017

Pulau Pinang masih gelisah

ARKIB : 31/07/2001
Oleh: JOHARI SHAWAL
TIGA mata bukan satu jurang kedudukan yang selesa malah amat meresahkan pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu, Pulau Pinang.

Biarpun ketika ini skuad Harimau Kumbang dicemburui lawan, pencabar terdekat, Terengganu hanya menunggu masa untuk kembali merampas kedudukan itu.

Di peringkat ini, hanya kesilapan bakal menentukan kedudukan dalam liga, apa lagi pasukan bawah turut mengintai tempat terhormat itu.

Dengan baki enam perlawanan harus diharungi, pasukan Irfan Bakti bukan sahaja ditekan juara pusingan pertama itu, malah Kelantan dan Selangor turut menggugat.

Dua pasukan itu masing-masing hanya lima dan lapan mata di belakang Pulau Pinang.

Mungkin Pulau Pinang berdepan tugas agak mudah, melayan kunjungan pasukan tangga terbawah, Johor di gelanggang sendiri malam ini.

Tetapi perlu diingat, Johor yang hanya meraih dua kemenangan daripada 16 perlawanan setakat ini, mampu mengejutkan Pulau Pinang sepertimana Terengganu yang ketika itu memimpin liga pada penghujung pusingan pertama.

Begitupun, dengan rekod cemerlang di tempat sendiri, Pulau Pinang dijangka tidak menghadapi masalah untuk memungut tiga mata.

Terengganu berkunjung ke utara menentang Perlis, yang juga gagah di tempat sendiri. Skuad Singa Utara hanya tewas dua kali di Stadium Utama.

Bagaimanapun, sentuhan penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar nampak semakin menjadi dan pasukan Mat Zan Mat Aris tidak harus terus membuat kesilapan dalam usaha merampas semula tempat mereka sebelum ini.

Kelantan sekali lagi bermain di luar, kali ini di Cheras menentang pasukan kerdil, Kuala Lumpur dan berpeluang melebarkan kemenangan jika mengambil kira prestasi merudum skuad warga kota.

Juara bertahan, Selangor harus tidak melepaskan lagi peluang di gelanggang sendiri malam ini apabila menentang Negeri Sembilan untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang mata dengan Kelantan dan Terengganu.

Dalam perlawanan lain, Sarawak dan Perak yang berkongsi 21 mata di tempat keenam dan tujuh, berentap sesama sendiri di Kuching manakala pasukan di tangga kelima, Pahang mengharapkan penonton Melaka lebih berdisiplin apabila beraksi di Stadium Kubu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhp8uyRZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan