Sabtu, 18 Mac 2017

Pulau Pinang dicemburui

ARKIB : 30/07/2001
Oleh Zainu'l Azhar Ash'ari
SEGALA percaturan tersusun rapi namun buat tiga pasukan, musuh utama Pulau Pinang wajar untuk terus dicemburui kerana masih berupaya menguasai takhta Liga Perdana Satu selepas berakhir perlawanan kelmarin.

Kejayaan Pulau Pinang menewaskan Melaka 3-0 di Stadium Kubu terus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas Liga Perdana Satu biarpun pencabar terdekatnya Terengganu mengekori rapat apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur.

Dengan kemenangan tersebut, Pulau Pinang mengumpul 35 mata untuk terus menjadi pendahulu manakala Terengganu mengutip 32 mata din tangga kedua.

Walaupun Melaka merupakan pasukan di tangga kedua terbawah, masih ada di antara pasukan yang mengharapkan Pulau Pinang tewas berdasarkan rekod tanpa kalah skuad kancil di Stadium Kubu.

Ternyata, dengan Pulau Pinang, Stadium Kubu bukannya lagi kebal malah Melaka buat pertama kalinya tewas dalam saingan di bumi sendiri.

Kemenangan Pulau Pinang terus membuka mata beberapa lagi pasukan khususnya Terengganu yang turut beraksi cemerlang untuk menewaskan Kuala Lumpur bagi membuka ruang lebih luas bagi memintas harimau kumbang.

Begitu juga Kelantan yang masih menguasai tangga ketiga selepas menang 3-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kelantan mengumpul 30 mata selepas kemenangan tersebut yang sememangnya dicari supaya jarak di antaranya dengan pendahulu liga tidak terlalu jauh kerana skuad kijang merah itu turut mengidam kejuaraan Liga Perdana Satu.

Persaingan itu menjadikan aksi Liga Perdana Satu menjadi semakin menarik, penuh dengan muslihat setiap pasukan yang bertanding khususnya di kelompok teratas.

Berbanding dengan ketiga-tiga pasukan teratas yang menang selesa, Selangor hanya berupaya seri dengan Perak menerusi keputusan 1-1 untuk mengekalkan kedudukan di tangga keempat dengan mengumpul 27 mata.

Seharusnya, di Stadium Shah Alam, Selangor mampu mencatat kemenangan tetapi Perak yang jurulatihnya Karl Heinz Weigang hanya menjadi penonton selepas diketepikan, gagal mengambil kesempatan.

Tangga tercorot pula tetap tidak dilepaskan Johor yang tewas 0-3 kepada Sarawak manakala Perlis seri tanpa jaringan dengan Pahang di Stadium Utama, Kangar.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bhoNpurj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan