Rabu, 15 Mac 2017

Kembar Hasmawi bakal menggegar



Oleh: SYAHIR KASSIM
PULAU PINANG kini boleh menarik nafas lega apabila penyerang kembar Hasmawi Hassan dan Mohd Fareed Shah Hassan mula menunjukkan keserasian dalam menggempur kubu lawan walaupun baru tiga perlawanan digandingkan bersama.

Aksi lincah Fareed ternyata tidak menghampakan jurulatih Irfan Bakti apabila beliau menjaringkan gol pada setiap perlawanan persahabatan.

Gol pertama Fareed sejak menyertai skuad Pulau Pinang dijaringkan ketika menumpaskan calon Liga Perdana Dua, Telekom Melaka 6-3 pada perlawanan persahabatan minggu lalu, diikuti dengan sumbangan gol peribadi kedua ketika menewaskan Pahang 4-0 Khamis lalu.

Fareed bertindak garang malam semalam ketika mengalahkan Perlis 2-1 dalam Kejohanan Empat Penjuru yang berakhir hari ini menerusi dua gol jaringannya pada minit ke-46 dan ke-74.

Menurut Irfan, beliau menerima apa juga keputusan dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya ini tetapi yang penting bagi skuad Pulau Mutiara adalah mengenal pasti kelemahan di setiap bahagian sebagai persediaan menghadapi Liga Perdana dan Piala FA, Mac ini.

``Menang atau kalah tidak penting, tetapi apa yang perlu dilakukan adalah menutup ruang kelemahan yang wujud bagi menghadapi persaingan sebenar bulan depan, katanya ketika ditemui malam semalam.

Kejohanan Empat Penjuru yang bermula Khamis lalu melibatkan Pahang, Perlis, Gombak FC dari Singapura dan pasukan tuan rumah, Pulau Pinang.

Dalam Perlawanan pertama Pulau Pinang mengaibkan Pahang dengan jaringan 4-0 sebelum mengalahkan Perlis 2-1 dalam perlawanan malam semalam.

Menurut Irfan lagi, kejohanan ini juga merupakan medan bagi Pulau Pinang untuk memilih kesebelasan utama selain meningkatkan kesefahaman dan komunikasi pemain ketika berada di padang.

``Banyak perkara yang perlu dipertingkatkan seperti persefahaman pemain pertahanan, kemantapan dan menajamkan barisan serangan selain mengatur gerakan oleh pemain tengah, ujarnya.

Mengulas gandingan kembar Hasmawi dan Fareed beliau berkata, gandingan mereka mula menunjukkan keserasian dan kematangan.

``Masih ada ruang bagi mereka (Hasmawi dan Fareed) untuk meningkatkan prestasi, apa yang penting termasuk juga pemain lain ialah kesungguhan dan komitmen, tegasnya.

Hari ini, Pulau Pinang akan menamatkan kejohanan itu, berhadapan dengan Gombak FC dan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang juga sedang mengatur beberapa perlawanan persahabatan yang lain termasuk bertemu Geylang FC dari Singapura di Stadium Negeri Batu Kawan, 5 Mac ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bPBelzOh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan